Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perak akan pecat lagi beberapa pegawai kanan GLC

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu membayangkan beberapa lagi pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Perak yang dilantik oleh pentadbiran terdahulu bakal dipecat kerana jawatan disandang mereka tidak membawa keuntungan.

Beliau bagaimanapun mengakui perkara itu tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya memandangkan ada antara mereka masih terikat dengan kontrak.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, beliau berkata pihaknya juga mendapati kebanyakan GLC di negeri ini mempunyai kakitangan yang begitu ramai termasuk peringkat bawahan yang perkhidmatannya dilihat tidak begitu diperlukan.

"Saya sebutkan sebelum ini pekerja bawahan begitu ramai serta tidak diperlukan namun keputusan terburu-buru tidak akan diambil kerana faham bahawa jika kita memecat seorang pemandu contohnya bukan sahaja beliau hilang punca pendapatan tetapi keluarganya juga.

"Kita (kerajaan negeri) akan fikir bagaimana untuk meminimumkan perbelanjaan syarikat," katanya.

Terdahulu Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Perak menerima menerima sumbangan untuk Tabung Harapan Malaysia daripada UNISEM Group sebanyak RM500,000 di pejabatnya di Ipoh.

Beliau berkata gabungan itu akan menunaikan janji dalam manifesto sebelum ini iaitu akan membentangkan audit semua GLC di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada Ahad lepas, Ahmad Faizal berkata pihaknya telah memecat tujuh pegawai eksekutif sebuah GLC kerana berbelanja melebihi yang sepatutnya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS