Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Khaled ibarat permata dibuang dalam Umno'
Diterbitkan:  Jun 27, 2018 10:00 AM
Dikemaskini: 3:23 AM

Anak lelaki Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini berkongsi satu catatan di Instagram yang menyifatkan bekas menteri besar Johor itu sebagai "arkitek Melayu moden" dalam usaha membantu kempen bapanya bagi merebut jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan parti itu akan datang.

Penulis yang hanya mengenalkan dirinya sebagai 'Anak Watan Johor' membangkitkan pelbagai pencapaian Khaled sepanjang tempoh menjadi menteri besar Johor, termasuk membina kira-kira 16,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun dari tahun 2013.

Di bawah pentadbiran Khaled, beliau berkata tanah rizab Melayu di Johor meningkat kepada 555,527.859 hektar bersamaan 29.4 peratus daripada keluasan negeri.

"Sesungguhnya Datuk Seri Mohamed Khaled ini adalah seorang arkitek Melayu moden yang diperlukan kini. Kami percaya kebolehan beliau boleh dimanfaatkan parti sebaiknya.

"Dengan Datuk Seri Mohamed Khaled nescaya walau sebagai pembangkang pun, orang Melayu tetap terbela dan Umno disegani," katanya menerusi Instagram.

Dalam catatan itu, penulis itu berkata Khaled "dikorbankan" semasa pilihan raya umum ke-14 bagi menyingkirkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kini katanya, masa untuk Umno menebus kesalahan lalu dalam pemilihan parti itu.

"Kami menyesal kerana terpaksa mengorbankan Datuk Khaled untuk menumbangkan Datuk Najib. Tapi apakah daya, itu sahaja caranya.

"Tetapi dengan nafsu Menteri Besar Johor baru, baru kami sedar bahawa rupanya kami telah buang permata di hadapan kami.

"Kami insaf. Kini kami ingin menebus kembali kesalahan kami," katanya.

Khaled sebelum ini mengumumkan akan bertanding jawatan naib presiden Umno pada pemilihan parti itu akan datang.

Menjelaskan tujuannya, Khaled yang juga pengerusi Umno Johor berkata, ia bagi memastikan parti itu kembali mendapat sokongan.

Selain Khaled, bekas menteri Umno Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut mengumumkan bertanding jawatan yang sama.

Pada PRU14, Khaled tewas di kerusi parlimen Pasir Gudang dan kerusi DUN Permas.

Lihat Komen
ADS