Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis: Tiada label 'Umno' pada wang yang dirampas
Diterbitkan:  Jun 27, 2018 2:33 PM
Dikemaskini: 8:44 AM

Polis berkata mereka belum mengesahkan sama ada wang tunai yang dirampas di hartanah berkaitan Datuk Seri Najib Razak adalah milik Umno, seperti dakwaan sesetengah pihak.

"Kami tidak tahu sebab tiada tulis 'Umno' (pada wang tersebut)," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Amar Singh Ishar Singh dalam sidang media hari ini.

Amar berkata, jika ada pihak yang mendakwa wang tersebut milik Umno, polis mahu mengambil keterangan mereka dan menyiasat dakwaan itu.

"Tetapi setakat ini tiada yang tampil ke depan," katanya lagi.

Dalam sidang media itu polis turut menyenaraikan pelbagai barangan yang dirampas ketika serbuan bulan lalu di hartanah yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu.

Nilai keseluruhan berangan itu mencecah RM686.37 juta termasuk 12,000 barang kemas.

Susulan serbuan di tiga unit kondominium Pavilion Residence di Kuala Lumpur pada 18 Mei lalu, beberapa pihak mendakwa wang tunai yang dirampas adalah milik Umno - bukannya milik individu - dan untuk digunakan dalam PRU ke-14.

Antara yang membuat dakwaan itu adalah Najib sendiri, ibu pejabat Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Datuk Bung Moktar Radin.

Sementara itu, Amar berkata polis akan memanggil Najib dan isterinya Datuk Seri Rosmah Mansor tidak lama lagi untuk mengambil keterangan mereka berhubung skandal 1MDB.

"Kami akan memanggil mereka berdua tak lama lagi dan menyiasat sama ada Rosmah terlibat dalam skandal 1MDB," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS