Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno perlu mohon maaf atas segala kesalahan lalu, kata Ku Li

Tengku Razaleigh Hamzah berkata Umno perlu meminta maaf kepada rakyat atas setiap kesalahan lalu, jika parti Melayu itu mahu bangkit semula.

Beliau yang bertanding bagi kerusi presiden Umno itu berkata parti itu perlu memohon maaf kerana mengabaikan tugas dan tanggungjawab ketika rakyat meletakkan kepercayaan kepada mereka.

"Kita perlu memohon maaf atas semua perkara yang menimbulkan kemarahan rakyat agar rakyat dapat dekati kita semula.

"Jika saya boleh mendapat konsensus daripada semua bahagian, saya mahu setiap mereka untuk turun ke akar umbi dan meminta maaf atas kesalahan lalu kerana mengkhianati kepercayaan mereka," katanya dalam pertemuan bersama 150 perwakilan Umno Pulau Pinang di Seberang Jaya.

Beliau berkata sememangnya sudah menjadi budaya Islam dan Malaysia untuk memohon maaf.

"Saya tak lihat kenapa kita tak boleh minta maaf," kata tokoh veteran Umno berusia 81 tahun itu lagi.

Ku Li berdepan empat pesaing, termasuk pemangku presiden Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin, dalam pemilihan Umno hujung minggu ini.

Beliau sebelum ini pernah mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad bagi kerusi itu ketika pemilihan Umno 1987 namun tewas.

Selepas itu, beliau keluar Umno untuk menubuhkan Semangat 46, namun kembali ke pangkuan parti itu pada 1996.

Sabtu ini, sejumlah 165,000 perwakilan di 191 bahagian seluruh negara akan mengundi untuk memilih barisan baru pemimpin tertinggi Umno.
 

Lihat Komen
ADS