Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Majlis Penasihat Kerajaan bertemu mufti, tokoh agama

Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) hari ini mengadakan pertemuan dengan beberapa mufti, tokoh agama serta pertubuhan berkaitan agama Islam bagi mendapatkan pandangan mereka berhubung isu-isu yang melibatkan aspek agama Islam di negara ini.

Antara yang hadir ialah Mufti Perlis Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang berkata beliau berkongsi beberapa pandangan dengan CEP berhubung pendekatan Islam yang lebih menyeluruh dan adil merangkumi semua pihak termasuk bukan Islam.

Ini katanya sesuai dengan aspirasi ‘Malaysia Baharu’ yang mementingkan keadilan.

“Mereka juga meminta pandangan tentang pelbagai isu antaranya berhubung fatwa dan isu hak penjagaan anak. Peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia juga ada dibincangkan,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu di Menara Ilham, di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang turut hadir berkata beliau berkongsi pandangannya tentang mazhab.

Katanya beliau berpandangan negara perlu bersifat terbuka kepada mazhab selain Syafii dalam menyelesaikan isu-isu nasional.

"Kalau bab ibadat, nak sembahyang, puasa itu kita boleh pegang mazhab Syafii, tapi kalau kita nak pergi isu lebih jauh seperti muamalat, kewangan dan sosial, kita kena berani merentasi mazhab-mazhab lain," katanya

Turut kelihatan hadir Mufti Johor Datuk M. Tharir Kiyai Samsudin serta penulis Mohd Faizal Musa atau nama penanya Faisal Tehrani dan Pertubuhan Ikram Malaysia.

- Bernama

Lihat Komen
ADS