Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk menggabungkan dua entiti media di bawah kawalannya iaitu Radio Televisyen Malaysia dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, penggabungan itu bagi membolehkan penjimatan kos operasi kedua-dua organisasi media berkenaan.

Katanya, penjimatan kos berkenaan akan mewujudkan dana tambahan untuk menjalankan kerja-kerja inovatif dan menghsilkan kandungan yang moden.

Pelan penggabungan itu adalah antara cadangan yang dinilai sebagai sebahagian daripada tarikh akhir enam bulan yang diberikan oleh Gobind kepada RTM untuk melakukan tranformasi perkhidmatan RTM yang berakhir pada Disember 2018.

"Sekiranya penggabungan menjadi kenyataan, sektor berita boleh diperolehi dari Bernama, dan jika ini dilakukan, kami akan dapat mengurangkan kos RTM dan ini bermakna kami akan mempunyai dana tambahan untuk kandungan," kata Gobind seperti yang dipetik oleh The Malaysian Reserve, hari ini.

Beliau berkata pihak bebas sedang mengkaji cadangan penggabungan itu, serta pilihan lain, dengan keputusan akan dibuat berdasarkan laporan mereka.

RTM adalah pengendali stesen TV dan radio negara sejak 72 tahun lalu. Ia mengendalikan saluran TV TV1, TV2, TV Okey, enam stesen radio nasional dan puluhan stesen FM tempatan di seluruh negara.

Bernama pula adalah agensi berita dan juga memiliki dan mengendalikan saluran berita 24 jam Bernama (BNC).