Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syiah, mazhab, Jakim timbul pada pertemuan CEP - Mufti

Persoalan tentang Syiah, perbezaan mazhab dan Jakim antara isu yang ditimbulkan dalam pertemuan antara Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) dengan mufti-mufti, tokoh agama dan pertubuhan berkaitan agama Islam di ibu Negara, hari ini.

Berkongsi inti pati perbincangan dalam pertemuan tersebut Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, dalam isu Syiah beliau mempertahankan pendapatnya yang pernah dilontarkan sebelum ini.

Menurutnya, golongan Syiah tidak boleh dihukum sebagai kafir malah kerajaan Arab Saudi sendiri terus membenarkan mereka mengerjakan haji di Mekah.

"Dulu saya bagi pendapat mengenai Syiah ramai yang kecam dan kritik saya balik, apabila media tanya Syiah ini kafir atau tidak saya katakan tidak.

Syiah kerjakan haji 

"Saya kata kalau orang Syiah kafir sudah tentu kerajaan Arab Saudi tak benarkan mereka kerjakan haji.

"Cuma dalam Syiah ini ada seksyen-seksyen tertentu yang tidak diiktiraf sebagai Syiah, macam kita orang Sunni ada ajaran-ajaran sesat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Isu kedua katanya, salah seorang anggota CEP iaitu Tun Daim Zainuddin bertanya mengenai mazhab dan di Malaysia golongan agamawan dilihat terlalu terikat dengan mazhab Syafii.

"Saya jelaskan jika dalam soal ibadat eloklah kita berpegang kepada mazhab kita (Syafii), tetapi dalam hal lebih jauh misalnya bab sosial kalau kita bergantung pada mazhab Syafii saja kadang-kadang merugikan.

"Sebab kita tak pasti kebenaran itu terletak pada mazhab Syafii saja. Mungkin kebenaran sesuai isu ada dalam mazhab lain. Jadi kita perlu lebih terbuka.

'Mazhab Syafii keutamaan'

"Saya tak pasti di negeri-negeri lain, tetapi dalam Enakmen Agama Islam Pulau Pinang menetapkan supaya merujuk mazhab Syafii sebagai keutamaan dalam menyelesaikan sesuatu persoalan, jika gagal dibenarkan untuk merujuk penyelesaian mengikut kaedah mazhab-mazhab lain," jelasnya sambil menegaskan berpuas hati dengan pertemuan yang berlangsung secara harmoni itu.

Selain itu, Wan Salim berkata, beliau juga memberi pandangan mengenai isu kedudukan Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) dan berpendapat agensi itu perlu dikekalkan.

"Jika dibubarkan kita akan kembali ke zaman 1960-an, 1950-an, saya kata ia masih relevan sebagai penyelaras kepada negeri-negeri.

"Contohnya dalam penyelerasan fatwa-fatwa, soal waktu solat, puasa atau sambutan hari raya," katanya.

Sementara itu, seorang lagi tokoh yang turut hadir ialah Pensyarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Faisal Tehrani.

Pada sesi tersebut beliau berkongsi pandangan bahawa persoalan berkaitan agama Islam juga perlu dirujuk kepada ahli akademik atau saintis pelbagai bidang dan tidak semata-mata bergantung kepada pendapat ulama atau agamawan.

"Ini bukan sesuatu yang asing, malah sudah dilakukan oleh Majlis Agama Islam Singapura yang menempatkan pakar undang-undang, ahli sosiologi dalam lembaga penasihatnya.

"Ia bukan sesuatu yang aneh, jadi itulah antara penambahbaikan yang saya rasa perlu dibuat," jelasnya yang juga seorang penulis karya-karya sastera.

Hadir sama dalam pertemuan itu antara Mufti Perlis Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Mufti Johor, Datuk M Tahrir Kiyai Samsudin.

Lihat Komen
ADS