Terjemahan DAP memberi tempoh dua minggu kepada Bank Negara untuk menjelaskan mengapa kontrak bernilai RM320 juta diberikan kepada sebuah syarikat yang mengalami kerugian H&I Niaga Sdn Bhd untuk membina Pusat Sumber Perkhidmatan Kewangan (FSRC).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberitahu pemberita demikian selepas perbincangan di antara wakil DAP dengan para pegawai Bank Negara di Kuala Lumpur hari ini.

"Kami tidak tahu sama ada Bank Negara akan menjawabnya atau tidak. Jika mereka tidak menjawab, maka ahli Parlimen DAP akan membangkitkan perkara ini di Dewan Rakyat," katanya.

Menurutnya, Bank Negara mesti mendokong amalan perbankan yang cermat serta melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya dan bukan melakukan sebaliknya.

Bank Negara mengumumkan pada 16 September lalu bahawa H&I Niaga telah dianugerahkan kontrak tersebut selepas proses penilaian yang rapi.

Pembinaan FSRC , yang akan menjadi pusat ilmu untuk pembelajaran dan kemudahan penyelidikan serta sebuah Pusat Seni Muzium Kewangan, dijadual siap pada tahun 2007.

Perlu alasan kukuh

Lim berkata, DAP ingin tahu mengapa kontrak tersebut diserahkan kepada H&I Niaga yang mengalami kerugian RM251,563 pada 2003. Beliau juga mendakwa, syarikat itu tidak mengemukakan akaun kewangannya kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi tahun 2002, 2003 dan 2004.

Katanya, DAP juga ingin tahu bagaimana H&I Niaga boleh mendapatkan kemudian pinjaman bank bagi membiayai projek tersebut.

"Apabila kemudahan pinjaman bank boleh diperolehi walaupun mengalami kerugian mengikut laporan kewagannya dan kegagalannya mengemukakan laporan kewangan kepada SSM, maka ada yang tidak kena.

"Bank Negara mesti juga menjelaskan dan memberi alasan kuat mengenai perbelanjaan RM320 juta diperlukan untuk membina FSRC, yang pada asasnya merupakan sebuah pusat persidangan dan muzium seni, dan tidak mencari pilihan yang murah dengan membeli bangunan kosong di sekitar Kuala Lumpur," tambahnya.

Lim berkata, dalam perjumpaan dengan pegawai Bank Negara itu, beliau turut menyerahkan sepucuk surat yang dialamatkan kepada Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, untuk mendapatkan penjelasan mengenai pemberian kontrak kepada H&I Niaga.

Turut hadir di perjumpaan tersebut ialah ahli-ahli Parlimen DAP bagi Seputeh Teresa Kok, Chong Eng (Bukit Mertajam) dan Lau Weng Seng dari jawatankuasa eksekutif Pemuda DAP kebangsaan,

Bank Negara pula diwakili oleh Pengarah Komunikasi Korporatnya, Abu Hassan Alshari./ Berita asal