'HARAPAN dingatkan tak diskriminasi negeri pembangkang'
Ketua Srikandi PKR Selangor Nurainie Haziqah Shafii menggesa agar pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak mendiskriminasi rakyat di negeri yang ditadbir pembangkang dalam agihan peruntukan pembangunan kampung.
Nurainie berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun semalam berhubung peruntukan RM100 juta pembangunan kampung yang hanya diterhadkan kepada negeri yang ditadbir HARAPAN.
"Saya menyangkal kenyataan ini dan mohon cadangan ini disemak semula kerana sejak awal penubuhan (HARAPAN), prinsip utama yang didukung oleh HARAPAN adalah untuk memastikan hasil negara diagihkan secara sama rata dan adil tidak kira parti.
"Kerajaan ini adalah kerajaan untuk semua. Pemimpin HARAPAN harus pastikan prinsip ini tidak mendiskriminasi mana-mana rakyat dan negeri yang bukan di bawah pentadbiran HARAPAN.
"Saya berharap agar tiada pimpinan HARAPAN yang cuba membeza-bezakan rakyat mengikut sokongan parti dan pastikan prinsip keadilan untuk semua dilaksanakan di setiap peringkat dan pelusuk," katanya.
Terdahulu, Rina dipetik Malay Mail sebagai berkata kampung-kampung di semua negeri, kecuali Perlis, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Sarawak yang ditadbir parti-parti pembangkang Akan dikecualikan daripada peruntukan berkenaan.
Bagaimanapun, Rina turut memberi jaminan sedang mengkaji peruntukan ke negeri-negeri yang ditadbir pembangkang dan menjelaskan pihaknya memerlukan masa selama sebulan.
Sebelum ini, dalam perkembangan sama, gesaan untuk tidak mendiskriminasi negeri pembangkang berhubung hal itu turut dikongsi Anggota Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

