Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye hari ini mengesahkan bahawa beliau bersedia menerima tawaran untuk berkhidmat sebagai timbalan menteri kesihatan selepas perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Lee sebelum ini memaklumkan bahawa beliau telah menolak jawatan itu apabila ditawarkan kepadanya oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Ketika itu, alasan Lee adalah hanya mahu berkhidmat sebagai anggota parlimen dan pakar bedah jantung.
Dalam satu kenyataan hari ini, Lee berkata walaupun dirinya telah menolak tawaran tersebut, beliau masih menerima panggilan semalam memaklumkan kepadanya bahawa beliau dijadualkan mengangkat sumpah sebagai timbalan menteri pada 2 Julai.
“Setelah berbincang dengan ahli keluarga saya serta pimpinan parti, khususnya presiden PKR merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, saya dengan rendah diri menerima lantikan tersebut.
“Saya bersedia untuk menumpukan sepenuh masa untuk menyokong jemaah menteri, dan menteri kesihatan dalam usaha meningkatkan sistem penjagaan kesihatan negara,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Lee juga memohon maaf dan kesulitan yang timbul akibat keputusan awalnya itu. Beliau juga menyampaikan penghargaannya kepada Dr Mahathir, Dr Wan Azizah dan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad atas kepercayaan dan sokongan mereka.
Mahathir dijangka mengumumkan kabinet penuhnya, yang terdiri daripada 28 menteri, tidak lama lagi.
