K'jaan tegaskan keputusan mansuh akta antiberita palsu
Kerajaan menegaskan keputusan untuk memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 pada sidang parlimen 17 Julai depan.
Perkara itu didedahkan pada surat bertarikh 11 Jun yang dikeluarkan oleh Datuk Amran Mohamed Zin, yang merupakan Duta Besar dan Wakil Tetap Malaysia Ke Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan lain-lain pertubuhan antarabangsa di Geneva.
Amran menjelaskan perkara itu dalam suratnya kepada pelapor khas PBB David Kaye berhubung kempen kebebasan bersuara dan berekspresi yang sebelum ini mendapat perhatian pihak mereka.
"Saya ingin memaklumkan bahawa kerajaan baru Malaysia memutuskan untuk memansuhkan Akta Anti Berita Palsu. Proses bagi tujuan itu sudah bermula dan usul dijangka akan dibentang dalam sidang parlimen yang akan bermula pada 16 Julai," katanya.
Sehari selepas Dewan Rakyat meluluskan akta antiberita palsu, Kaye menggesa Putrajaya untuk menolak perundangan berkenaan.
Menurutnya, peruntukan akta itu tidak mematuhi piawai antarabangsa berhubung hak asasi manusia dalam kebebasan berekspresi.
Pakatan Harapan sebelum ini berikrar menghapuskan akta itu dalam tempoh 100 hari selepas mengambil alih Putrajaya.
Terdahulu, dalam perkembangan sama, Anggota Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang mencadangkan agar akta antiberita palsu baru didrafkan oleh media selepas akta sedia ada dimansuhkan.
Lim berkata demikian selepas beberapa editor di UK bersetuju dengan undang-undang antiberita palsu.

