Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN | Orang Melayu tidaklah bodoh. Mereka kini pasti akan berkata, apa perlunya lagi orang-orang Melayu menyokong Umno, sedangkan hari ini gabungan parti yang berkuasa adalah Pakatan Harapan.

Usaha dan persaingan sebenarnya untuk survival orang Melayu adalah melalui kerajaan semasa. Seperti kaum-kaum lain, kenangan kepada kerajaan masa lalu, iaitu Umno, tidak akan mendatangkan untung apa-apa.

Orang Melayu juga mulai sedar bahawa parti masa depan bagi Malaysia ialah parti berbilang kaum. Hukum ini adalah hukum alam yang bergerak di seluruh dunia, sekurang-kurangnya lima dekad mutakhir.

Orang Melayu juga sudah mula menangkap hakikat bahawa mereka harus meninggalkan bentuk parti perkauman, yang pada bila-bila masa boleh mendatangkan mudarat bukan sahaja kepada negara, bahkan berbalik memundurkan orang Melayu itu sendiri. Melawan hukum alam ini samalah dengan orang yang cuba melawan kehadiran teknologi telefon bimbit dengan berkeras mahu menggunakan telefon awam. Jenis manusia sebegitu pernah saya temukan 15-20 tahun lalu.

Akhirnya hampir semua orang hari ini mempunyai telefon bimbit sehinggakan pondok-pondok telefon awam ditinggal usang meski tidaklah dirobohkan kesemuanya. Siapa yang cuba melawan arus perubahan bahawa perjuangan perkauman semakin lapuk, jadilah dia seperti pondok telefon yang semakin buruk.

Di negara maju mana pun, sama ada di Barat dan Eropah, parti perkauman sudah ratusan tahun tidak mendapat kuasa, dan barangkali sudah lupus sama sekali seperti pondok telefon juga. Kalau pun ada parti yang bersifat ‘perkauman’, sifat itu lahir daripada semangat nasionalisme dan bukan daripada syarat warna kulit dan kaum.

Demikianlah Parti Konservatif di UK atau Republikan di AS, keduanya bukan hanya disertai oleh orang kulit putih. Semua warna kulit pun menyertai parti-parti itu, meski pada hujung jalan parti sangat cenderung kepada budaya dan tradisi kaum asal dan masyarakat majoriti. Buktinya di AS, tidak ada perayaan lain yang diterima sebagai perayaan negara dan diberikan cuti umum, kecuali Hari Natal.

Mungkin hanya di Malaysia keadaan lebih terbuka apabila banyak sekali perayaan-perayaan turut diterima sebagai hari kebesaran negara dan diberikan cuti umum.

Perjudian yang tak mengena

Saya percaya, anak-anak muda yang terdidik dalam Umno pun menyedari hakikat dan kenyataan ini. Namun mungkin mereka telah telanjur menyertai Umno tempoh hari kerana ditipu oleh akal mereka sendiri. Mereka percaya bahawa hanya Umno akan membawa mereka untuk mencapai kuasa. Tanpa terlalu perlu bersusah payah. Perjudian itu, buat pertama kalinya, tidak mengena!

Atas faktor-faktor perubahan yang alamiah ini, orang Melayu juga akan lebih ramai meninggalkan Umno, sementara Umno sudah hampir pasti tidak akan mendapat sokongan kaum-kaum lain lagi.

Kalaupun BN mahu dihidupkan dalam ‘bentuk baharu’, tetapi bentuk baharu itu pun tidak akan lari daripada bentuk BN yang lama iaitu dengan usaha menggabungkan parti-parti perkauman lain menjadi satu gabungan. Namun selain Umno, parti yang berasaskan perkauman seperti MCA dan MIC juga sedang pelan-pelan ditelan dek peredaran zaman.

Sedangkan di pihak HARAPAN, mereka sediakala sudah ada parti berbilang kaum. Erti parti berbilang kaum ialah parti yang dapat mewakili wajah sebenar pecahan kaum-kaum di negara ini. Parti yang tidak dapat mewakili wajah sebenar populasi itu pun akan semakin dan semakin tidak relevan.

Memanglah seraya kalah dalam sesuatu pertandingan, akan ada di antara pemain yang menyalahkan pemain lain dalam pasukannya. Sejak di sekolah rendah pun keadaan sama dapat dilihat. Cara dan helah itu tidak lain adalah cara paling mudah untuk melepaskan diri daripada dilihat turut sama menjadi pihak yang kecundang.

Begitulah tindakan menyalah mantan presidennya, Najib Razak kini menjadi antara taktik mudah dan paling popular waima dalam Umno itu sendiri. Terutama apabila tiba di musim pertandingan. Calon yang lantang menyalahkan mantan ketuanya berharap secara automatik dia menjadi ‘bersih’ daripada beban masa lalu, terlihat ‘baharu’ dan kemudiannya mendapat sokongan. Semudah itu!

Sedangkan di luar Umno, rakyat arif benar bahawa orang yang turut bersalah, wajib turut bersalah. Dosa terbesar bukan kerana Umno kalah, tetapi kerana sewaktu bersama dalam pasukan kabinet, ada tidak menjadi menteri yang lantang, bangun serta menegur habis-habisan. Sebelum PRU, pujian bukan main siang dan malam.

Lihat bagaimana Muhyiddin Yassin dan Shafie Afdal yang telah mengambil risiko, dan perlu bersabar untuk dua tahun sebelum di angkat rakyat kembali ke koridor kuasa. Begitu juga Anwar yang masuk-keluar penjara demi mencapai satu bentuk kemenangan. Lebih besar daripada kemenangan itu ialah mencapai kebenaran.

Kekuatan angka majoriti

Segigih mana pun usaha untuk melepaskan diri sendiri daripada kesalahan yang memungkinkan pemimpin Umno hari ini mendapat undi demi survival diri, dia tidak akan dapat dilepaskan daripada neraca pertimbangan rakyat dan orang Melayu umumnya. Di situ jugalah sebenarnya menjadi alasan yang jelas untuk orang Melayu meninggalkan Umno.

Orang Melayu di bawah tak punya kepentingan apa-apa. Mereka bukan YB yang perlu menjilat pemimpin tertinggi HARAPAN untuk menjadi menteri. Kekuatan sebenar bagi orang Melayu ialah mereka mempunyai angka majoriti yang perlu digunakan untuk memperkuat suara di dalam kerajaan HARAPAN.

Suara itu pula tidak boleh diberikan untuk mana-mana parti perkauman lagi. Suara itu perlu diberikan kepada parti berbilang kaum, yang di dalamnya mahu tidak mahu perlu ditunjangi orang Melayu sebagai kaum majoriti. Itulah satu-satunya cara demi asas perpaduan, kedamaian dan kemajuan Malaysia yang baharu dapat dibentuk.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS