Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Teruk hang Syed...'
Diterbitkan:  Jun 28, 2018 12:22 PM
Dikemaskini: 4:29 AM

Naib Presiden PAS Idris Ahmad memang menjangkakan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bakal berdepan laluan sukar walaupun berjaya merampas semula kerusi parlimen Bukit Gantang untuk BN.

Menurut Idris walaupun memenangi kerusi berkenaan anggota parlimen terbabit tidak lagi dapat berurusan dengan Putrajaya seperti sebelum 9 Mei.

Katanya ketika ini BN tidak lagi menjadi kerajaan pusat, dan pada masa sama Syed Abu Hussin sudah menabur pelbagai janji semasa berkempen menjelang pilihan raya umum (PRU) lalu.

"Banyak zakat dikeluarkan sewaktu kempen PRU ke-14. Almaklumlah, dia orang kaya. Tengok bas PLKN, teringatlah Dato Syed.

"Guna masjid, sekolah agama, sekolah biasa. Bebas isytihar janji-janji manis," kata Idris yang sebelum ini adalah anggota parlimen Bukit Gantang.

Melalui hantara di Facebook Idris turut menyertakan imej Syed Abu Hussin serta sejumlah ikrarnya untuk pengundi Bukit Gantang sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat mereka.

Katanya janji yang ditabur Syed Abu Hussin itu membuat pengundi di Bukit Gantang teruja.

Namun kata bekas pensyarah itu, pada malam keputusan diumumkan beliau melihat Syed Abu Hussin termenung.

"Saya kata (pada) dia: Teruk hang Syed, aku tak apa (sebab) aku miskin, hang kaya. Hang menang, BN kalah di pusat," katanya menceritakan semula kejadian pada 9 Mei lalu.

Syed Abu Hussin mengumumkan keluar daripada Umno dan menjadi anggota parlimen bebas semalam, beberapa hari selepas seorang lagi wakil rakyat Umno, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) berbuat demikian.

Untuk mengabsahkan tindakannya itu Syed Abu Hussin berkata dia mengambil langkah tersebut kerana kekecewaan dengan keputusan pemilihan sayap Umno minggu lalu.

Terpukul dengan kekalahan kali pertama dalam sejarah sejumlah wakil rakyat Umno mula melompat keluar daripada parti berkenaan di beberapa negeri dan menjadi penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN).

Bagaimanapun tidak semua pihak menyambut baik tindakan berkenaan dan menganggap anggota parlimen atau ahli dewan undangan negeri terbabit tidak berprinsip kerana meninggalkan Umno ketika parti itu sudah kehilangan kuasa di Putrajaya.

Untuk rekod Syed Abu Hussin mengalahkan Idris serta calon HARAPAN, Khadri Khalid dengan kelebihan 4,089 undi.

Kata Idris walaupun kalah dia tidak berdepan dengan sebarang masalah dan akan terus melakukan rutinnya sebelum ini seperti menghadiri kenduri, menziarahi kematian serta menghulurkan bantuan mengikut kemampuan.

Malah kata Idris menetap di rumahnya di Kampung Sungai Petai adalah menyeronokkan, antara lain kerana kediamannya itu terletak di depan surau.

"Masih berkuliah macam biasa, bimbing masyarakat kenal agama. Tenteram dan tenang. Tak adalah pula untuk tukar parti, insya-Allah.

"Saya tidak berniaga. Saya tidak ada kontrak dengan Kementerian Pertahanan.

"Saya orang biasa walaupun pernah menjadi pensyarah ITM (Institut Teknologi MARA) .

"Dato Rosli (bekas Ketua Bahagian Bukit Gantang) tentu suka baca kenyataan ini," katanya.

Lihat Komen
ADS