Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
IGP sangkal Najib, nilai asas rampasan RM686 juta
Diterbitkan:  Jun 28, 2018 12:26 PM
Dikemaskini: 5:13 AM

Polis hari ini membidas kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang mempertikaikan nilai barang rampasan yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu, dengan mempertahankan nilai semua wang tunai dan barangan berharga dalam anggaran RM900 juta sehingga RM1.1 bilion.

Ketua Polis Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya membuat anggaran nilai itu dengan bantuan pakar.

"Anggaran nilai barang rampasan itu adalah berdasarkan (penilaian) pakar yang tahu nilai barang tersebut. Nilai itu berdasarkan penilaian pakar.

“Polis bukan pakar dalam perkara ini, kita mengupah pakar luar untuk membuat penilaian ke atas semua barangan yang dirampas.

“Kita dibantu pakar yang arif tentang jenama barang rampasan dan pihak PDRM tidak terlibat dalam menentukan nilai barang itu," katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan kontinjen dan daerah terbaik Op Selamat 2018 di Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini.

Mohamad Fuzi, juga mendedahkan polis menggunakan khidmat pakar bank negara dan pakar beg berjenama dalam membuat anggaran nilai harta rampasan berkenaan.

"Kita tidak boleh mengira jumlah ini secara konvensional. Jadi pakar yang buat penilaian dan nilai itu berdasarkan laporan mereka," katanya.

Dalam pada itu, berhubung permohonan Najib untuk melihat barang rampasan itu, Mohamad Fuzi berkata pihaknya tidak ada masalah jika ada keperluan untuk Najib berbuat demikian.

"Kalau ada keperluan kita akan benarkan," katanya.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh memaklumkan nilai barang rampasan di enam premis milik Najib pada 16 dan 17 Mei lalu bernilai sekitar RM686.37 juta.

Menurutnya, harga pasaran barangan berharga boleh mencecah RM900 juta sehingga RM1.1 bilion.

Ia melibatkan barangan kemas, beg tangan mewah, jam tangan berjenama, cermin mata selain pelbagai mata wang asing.

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini semalam, Najib berkata beliau tidak dimaklumkan senarai penuh dan butiran barangan yang dirampas dari kediaman yang dikaitkan dengannya.

Beliau mendakwa penilaian rampasan berkenaan, terutama barang kemas, subjektif dan tidak realistik dan memberi contoh, seperti batu pada barangan kemas yang dirampas berkenaan berusia kira-kira 20 tahun.

Katanya, nilai ketika sesebuah barangan itu dibeli juga perlu diambil kira.

"Ia bergantung kepada sumber sesebuah batu. Ia juga bergantung, bila ia dihadiahkan atau bila ia dibeli. Penilaian (bagi barangan tersebut) boleh berubah.

"Jadi janganlah kita terlalu teruja. Biar kita lihat barang-barang itu, setiap satu barangan tersebut.

"Kami harap ada peluang ia dibuat penilaian dan kita boleh buat kesimpulan berhubung sumber barangan tersebut serta dapat penjelasan mengenai barangan yang telah dirampas oleh pihak polis," kata Najib


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS