Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis minta Interpol notis merah Musa Aman
Diterbitkan:  Jun 28, 2018 1:23 PM
Dikemaskini: 5:28 AM

Polis telah meminta notis merah kepada Polis Antarabangsa (Interpol) bagi menangkap bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang dipercayai berada di UK.

Dalam sidang media di Bukit Aman hari ini, Ketua Polis Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya telah meminta bantuan Interpol.

“Kita dah minta notis merah kepada Interpol. Segala tindakan penuh kita akan ambil sekiranya dia (Musa) pulang nanti. Tindakan sewajarnya akan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang negara," katanya.

Selasa lalu, Musa akhirnya mengesahkan keluar dari Malaysia "secara sah" pada 16 Mei, dan menjelaskan beliau ke UK untuk rawatan perubatan dan urusan peribadi.

Musa juga menyatakan kesediaan membantu siasatan polis dan mendakwa telah menjelaskan perkara itu kepada pesuruhjaya polis Sabah.

Berhubung pencarian Datuk Seri Jamal Yunus, Mohamad Fuzi berkata polis sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk cuba mengesan ketua Umno Sungai Besar itu.

"Ramai yang tanya saya tentang Jamal dan ada yang dakwa tahu di mana dia berada. Ada yang kata di Riau, ada yang kata di Batam.

"Saya sudah semak dengan polis Indonesia dan setakat ini masih belum ada tangkapan," katanya.

Jamal, dalam beberapa klip videonya yang dilapor media, menegaskan dia masih berada di dalam negara.

Bulan lalu, Jamal hilang selepas didakwa di Ampang Puteri Hospital di Kuala Lumpur berhubung kes pecahkan botol arak di depan bangunan pentadbiran negeri Selangor. Jamal turut disiasat berhubung dakwaan gambarnya memegang senjata api.

Lihat Komen
ADS