Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M cabar Najib tunjuk bukti pembantunya terima RM10j

Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar Datuk Seri Najib Razak mengemukakan bukti dakwaan bahawa pembantunya menerima RM10 juta wang tunai daripada bekas perdana menteri itu.

"Tunjuk bukti, minta dia tunjuk bukti," katanya selepas berucap di program Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia hari ini.

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini semalam, Najib mendakwa salah seorang "orang Mahathir" mengambil RM10 juta wang tunai daripadanya untuk pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Pada PRU ke-13, Dr Mahathir belum keluar Umno dan anaknya Datuk Seri Mukriz bertanding di kerusi DUN Ayer Hitam di Kedah. Mukhriz kemudian memenangi kerusi itu dan seterusnya menjadi menteri besar Kedah.

Dalam wawancara itu, Najib mendedahkan "orang Mahathir" yang dimaksudkannya, yang merupakan ahli renang yang terkenal, namun Malaysiakini belum mendedahkan namanya kerana sedang menunggu balasan untuk permohonan ulasan daripadanya.

Semalam, bekas perdana menteri turut menyifatkan barang kemas dan barangan berharga yang dirampas dari kediaman yang dikaitkan dengannya sebagai "hadiah" yang diterima selama empat dekad dalam politik.

Najib turut menyifatkan amalan menerima hadiah seperti itu turut diamalkan Dr Mahathir.

"Tetapi apa yang saya tahu, selama bertahun-tahun sebagai ketua kerajaan, kami dihadiahkan dengan pelbagai barangan oleh pemimpin antarabangsa serta rakan-rakan peribadi.

"Saya tahu ia tidak menyalahi undang-undang untuk menerima hadiah. Sebagai contoh, (perdana menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) mengaku beliau menerima 40 ekor kuda daripada rakannya dan beliau juga secara terbuka menggunakan banyak jet korporat kawannya. Jadi ia tidak menyalahi undang-undang untuk menerima hadiah," ujarnya.

Menurut polis, harga pasaran untuk kesemua barangan mewah yang dirampas itu dalam anggaran RM900 juta hingga RM1.1 bilion.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS