Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Isteri masih anggap Karpal 'sedang berkhidmat untuk rakyat'

Empat tahun berlalu sejak Karpal Sing meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya. Hari ini merupakan ulang tahun ke-78 pemimpin DAP yang dikenali sebagai ahli politik yang tegas dan berani itu.

Bercakap kepada pemberita, balunya, Gurmit Kaur berkongsi mimpi yang dialaminya dua minggu sebelum pilihan raya umum (PRU) 9 Mei lalu.

Dalam mimpi itu, beliau melihat Karpal "dalam keadaan normal, berjalan tanpa kerusi roda, dan tersenyum sebelum hilang".

"Selepas pilihan raya, saya ceritakan mimpi saya kepada anak-anak saya, bahawa dia 'turut membantu' dalam pilihan raya. Masa berlalu pantas tapi saya tidak pernah rasa beliau tidak bersama saya.

"Kebanyakan masa, dia tidak ada di rumah, dia berkhidmat untuk rakyat, jadi sampai sekarang saya anggap dia sedang berkhidmat untuk rakyat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah kebajikan Little Sisters of the Poor di Pulau Pinang.

Tradisi keluarganya sejak 25 tahun lalu adalah menyambut kelahiran Karpal, yang jatuh pada hari sama dengan hari kelahiran anak bongsunya Mankarpal Singh, dengan memberi makanan kepada penghuni rumah kebajikan itu.

Dua bulan selepas Karpal meninggal dunia, Gurmit berkata beliau masih merasa kehadiran mendiang suaminya di rumah mereka di Pulau Pinang, bersama pembantunya Michael Cornelius yang turut terkorban dalam kemalangan itu.

"Saya sangat pasti dia pernah datang untuk melihat keadaan kami," katanya.

Selepas pemergian Karpal, kerusi parlimen Bukit Gelugor yang disandangnya sebelum itu dimenangi semula oleh anaknya, Ramkarpal.

Sementara itu, seorang lagi anak lelakinya, Jagdeep, berkata pemimpin veteran seperti mendiang bapanya adalah orang yang bertanggungjawab membuka jalan kepada Malaysia Baru yang lahir selepas PRU ke-14.

"Mereka adalah ikon, termasuk Lim Kit Siang dan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang bukanlah kawan paling rapat, namun masing-masing mempunyai perwatakan sendiri yang akhirnya membawa kita ke hari ini.

"Kita sedih dia (Karpal) tidak bersama kita untuk melihat perubahan yang diperjuangkannya sekian lama tapi kita percaya dia sedang tersenyum di tempat lain.

"Namun kita gembira dia sempat melihat perubahan di Pulau Pinang dan bersama dalam kemenangan dua penggal sejak 2008," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS