BERITA

Kenapa harus saya luluskan beli kapal layar guna dana awam?

Pasukan Malaysiakini

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Jun 2018, 12:27 tengahari

EKSKLUSIF l Datuk Seri Najib Razak mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak mempunyai sebarang peranan dalam kes dakwaan penyelewengan dana 1MDB seperti yang dikemukakan oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.

Dalam temubual eksklusif bersama Malaysiakini semalam, bekas perdana menteri berkata, tidak masuk akal jika beliau memberi kebenaran agar dana awam digunakan bagi membeli barang kemas, berlian, kapal layar, karya seni serta membiayai filem Hollywood.

"Saya tidak bersetuju dengan semua perkara ini. Saya bukan sebahagian daripada semua ini.

“1MDB membayar wang mengikut perjanjian usaha sama yang dibuat bersama negara-negara luar tetapi apabila wang itu dibayar, saya tidak boleh mengawal apa yang mereka lakukan dengan wang itu.

"Malah, saya tidak pernah melihat kapal layar itu kecuali dalam gambar. Saya tidak pernah lihat lukisan itu.

“Saya tidak tahu jenis lukisan itu. Sudah tentu, jika anda gunakan dana 1MDB untuk perkara seperti itu, saya tidak akan luluskan," kata Najib.

Najib yang merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB turut menegaskan, beliau juga memegang jawatan sama di beberapa organisasi lain namun tiada masalah yang berlaku seperti di 1MDB.

"Saya telah lama berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam dan saya mempunyai rekod yang kukuh. Dan ini menunjukkan, jika saya pemutus muktamad mengenai semua ini, saya tidak akan meluluskannya.

"Ia tidak masuk akal. Mengapa saya, sebagai perdana menteri, meluluskan dana awam untuk membeli kapal layar dan lukisan? Ia tidak masuk akal,” tambah anggota parlimen Pekan itu lagi.

Bekas perdana menteri keenam itu menegaskan, jika benar dana awam itu digunakan untuk membeli barangan seperti yang didakwa, tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap pihak bertanggungjawab.

"Tetapi jika ia berlaku, saya harap satu siasatan yang betul dilakukan dan apa-apa tindakan yang sesuai perlu diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab jika benar dana awam itu digunakan," ujar Najib.

Selepas 1MDB menghadapi masalah, Najib memberitahu, tumpuan utama syarikat berkenaan adalah untuk menjalankan tindakan rasionalisasi dan rundingan dengan negara-negara asing bagi memastikan Malaysia tidak menanggung sebarang kerugian.


Esok: Pandangan Najib tentang masa depan Umno

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.