Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pertindihan polis, SC dalam siasatan 1MDB dapat diatasi'

Setelah pertindihan peranan antara penyiasat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) selesai diatasi, kini Jawatankuasa Siasatan 1MDB mendapat gambaran lebih jelas tentang malapetaka yang menimpa syarikat pelaburan strategik negara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Siasatan 1MDB, Tan Sri Abu Talib Othman berkata jawatankuasa itu mengenal pasti pertindihan peranan antara SC dan PDRM yang boleh menyulitkan siasatan dan kemudian berjaya mengatasinya.

“Tugas kami berjalan dengan begitu lancar, perkara juga menjadi semakin jelas,” katanya kepada pemberita di Menara Ilham, di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Persekutuan, Datuk Seri Amar Singh hadir di bangunan itu untuk memberi taklimat kepada jawatankuasa berkenaan tentang siasatan dijalankan pihak polis.

Beliau, bagaimanapun, tidak memberi penjelasan terperinci kepada petugas media yang menunggu di luar bilik taklimat tentang perkara yang dibincangkan pada perjumpan tertutup itu.

Abu Talib berkata beliau berharap siasatan dapat diselesaikan dengan secepat mungkin, tetapi tidak menyatakan tempoh masa ditetapkan.

“Tidak adil menetapkan tempoh masa bagi mereka kerana keadaan mungkin kelihatan mudah, tetapi boleh menjadi rumit apabila siasatan dijalankan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS