Anggota Parlimen Sepang, Hanipa Maidin berkata, ramai pihak tidak sabar untuk melihat indiividu yang digelar Malaysian Official 1 atau MO1 didakwa.

Katanya, persoalan sama turut dibangkitkan kepada perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kunjungannya ke Indonesia semalam.

"Bila Tun di Indonesia, timbul isu orang di sana bertanya Tun bilakah MO1 akan didakwa? Saya dapat rasakan betapa ramai orang yang tak sabar nak lihat perkara itu. Orang kata history in the making!" katanya dalam satu kenyataan.

Bagi Hanipa, beliau dapat merasakan MO1 dan isteri kini sedang 'terseksa' menanti pendakwaan terhadap mereka.

"Dalam bahasa Inggeris, fenomena sebegini diungkap dengan frasa "a sword of Damocles hangs over one's ( MO1's ) head". Dalam bahasa melayu orang kata 'penantian itu satu penyeksaan'," kata beliau.

Hanipa turut memetik buku ditulis seorang peguam terkenal, Geoffrey Robertson yang berkongsi pengalaman mewakili anak guamnya yang sedang menunggu hukuman mati.

"Bagi beliau (Geoffrey), mana-mana penjenayah yang disabitkan bersalah dan dikenakan hukuman mati hakikatnya mereka jauh lebih tertekan dan sengsara menanti saat perlaksanaan hukuman mati dijalankan dari tertekan menerima berita hukuman itu buat kali pertama semasa ia diumumkan oleh hakim.

"Saya rasa begitulah yang mungkin kini dirasai oleh MO1 dan mungkin isteri beliau dan mungkin juga pihak-pihak tertentu yang ada kaitan dengan isu 1MDB atau kes pembunuhan Altantuya," katanya.

MO1 disebut sebanyak 36 kali dalam saman sivil yang difailkan Jabatan Kehakiman AS (DOJ) untuk merampas aset yang didakwa diperolehi di negara ini menggunakan dana diseleweng dari 1MDB.

Selepas BN mengalami kekalahan pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, siasatan terhadap skandal 1MDB telah dibuka semula, menyaksikan serbuan besar-besaran terhadap hartanah dan pejabat yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri dan pengarah lembaga penasihat 1MDB, Datuk Seri Najib Razak.

Najib bagaiamanapun berulangkali menafikan beliau terbabit dalam salah laku berkaitan 1MDB.