Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM beri gambaran sistem pendidikan ala Sekolah Wawasan
Diterbitkan:  Jun 29, 2018 12:43 PM
Dikemaskini: 4:51 AM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi gambaran kemungkinan untuk mengetangahkan sistem pendidikan yang membolehkan semua jenis sekolah dalam negara - kebangsaan, Tamil, dan Cina - diletakkan di dalam satu kompleks yang sama bagi mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.

Dr Mahathir dipetik berkata demikian dalam laporan Malay Mail yang mengulas tentang sistem pendidikan negara yang menurut perdana menteri itu masih menggunakan konsep lama dan perlu diubah.

Menurut Dr Mahathir, kerajaan terpaksa meneruskan sistem sekolah yang ada hari ini kerana "itu yang dimahukan rakyat".

"Kita ada tiga jenis sekolah, untuk mencapai perpaduan dan integrasi sukar kerana situasi politik berdasarkan keperluan kaum.

"Kerajaan tak dapat mengubah sistem sekolah ini kecuali rakyat mahukan hal itu," katanya dipetik sebagai berkata.

Mengulas lanjut mengenai cadangan meletakkan ketiga-tiga jenis sekolah di dalam satu kompleks, Dr Mahathir berkata masing-masing sekolah itu boleh mengekalkan penggunaan bahasa masing-masing Sebagai medium utama namun boleh berkongsi aktiviti sukan kokurikulum tambahan.

Konsep berkenaan serupa dengan Sekolah Wawasan yang diketengahkan Dr Mahathir pada 2000 dan dilaksanakan ketika pertama kali menjadi perdana menteri.

Konsep itu bagaimanapun mendapat bantahan daripada segelintir Anggota masyarakat yang bimbang ia akan meminggirkan hak kumpulan minoriti menggunakan bahasa ibunda masing-masing dalam pendidikan dan memaksa penggunaan satu bahasa untuk semua.

Dr Mahathir dilapor berkata demikian dalam kunjungan rasmi pertama ke Indonesia sejak pilihan raya umum (PRU) ke-14 ketika pertemuan dengan rakyat Malaysia yang tinggal di republik itu.

Pada majlis itu, Dr Mahathir juga menyorot keperluan mengubah sistem pendidikan agar tidak terlalu bergantung kepada guru.

Ini kerana, menurutnya, guru-guru tidak mempunyai kebolehan yang sama maka usaha perlu dilakukan agar peranan mereka lebih sebagai fasilitator.

"Saya sedar bahawa sistem pendidikan kita ketinggalan zaman dan tidak sesuai dengan dunia moden. Kita masih terlalu bergantung dengan guru namun tidak semua guru mempunyai kebolehan yang sama. Jika guru itu bagus, muridnya juga bagus. Tapi jika guru itu lemah, di situ lah masalah akan timbul.

"Kita mahukan pakar mengajar anak-anak kita menggunakan cakera keras (discs) atau thumb drives yang mengandungi bahan pembelajaran. Maka semua pelajar diajar mengikut piawai yang sama. Guru-guru akan menjadi fasilitator," katanya dipetik sebagai berkata.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS