Calon timbalan presiden Umno Tan Sri Annuar Musa mengulangi gambaran sebuah gabungan baru bagi menggantikan BN.

Gambaran serupa sebelum ini dibuat pemangku presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Tanpa menjelaskan perkara itu dengan lebih terperinci, anggota parlimen Ketereh itu berpendapat gagasan baru itu mungkin boleh dihasilkan dengan gabungan antara parti kerajaan dan pembangkang.

"BN itu sendiri menjadi perkara yang perlu kita lihat balik. Insya-Allah akan ada bentuk-bentuk gagasan yang baru. Jangan terkejut, gagasan itu mungkin sebahagian kerajaan atau pembangkang sekarang.

"Kerana bila kita lihat, kerajaan yang ada sekarang ini pun merupakan muka-muka, pemain-pemain Umno yang dulu.

"Bila tengok, mereka ini merupakan pemain yang diimport daripada pasukan lama (Umno)," kata Annuar yang memberi analogi sebuah pasukan bola dalam wawancara bersama Sinar Harian hari ini.

Pembangkang berwibawa

Selain itu, dalam wawancara sama, Annuar yang juga merupakan ketua penerangan Umno itu turut memberitahu perancangan sekiranya dipilih menjadi timbalan presiden Umno.

Katanya, beliau berharap selepas pemilihan Umno Sabtu ini, kesemua wakil rakyat daripada parti Melayu itu akan berkumpul untuk diberi penerangan bagaimana menjadi pembangkang yang berwibawa sama ada di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

"Kita kena jadi pembangkang yang cukup berwibawa. Bukan hanya berdasarkan retorik, dendam. Sebab itu saya berharap selepas pemilihan 30 hari bulan (Jun) nanti, insya-Allah saya kalau saya dipilih bersama presiden nanti, kita akan himpunkan wakil rakyat daripada parlimen dan DUN.

"Kita kena beri garis panduan yang jelas, apakah pembangkang daripada Umno. Kita tidak mahu pembangkang yang dendam dan pembangkang yang semata-mata membangkang.

"Kalau (perdana menteri) Tun (Dr Mahathir Mohamad) atau kerajaan Pakatan Harapan lakukan sesuatu yang baik, kita sokong. Mana yang perlu tegur, kita akan menegur," ujar Annuar.