Sehari sebelum pemilihan presiden Umno berlangsung, tinjauan menunjukkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang mendahului calon lain dengan Tengku Razaleigh Hamzah menjadi pencabar paling dekat di belakangnya.

Badan penyelidik ILHAM Centre yang menjalankan kajian selama lapan hari berkaitan calon presiden mendapati Ahmad Zahid memperolehi undi 51 peratus sokongan.

Bagi Tengku Razaleigh pula anggota parlimen Gua Musang itu mengumpul 35 peratus undi.

Seorang lagi pesaing, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula hanya menguasai enam peratus. Sokongan daripada lapan peratus bahagian Umno pula masih belum jelas.

“Menjelang detik-detik akhir fasa membuang undi, berlaku proses pujuk-memujuk dan kompromi di peringkat cawangan.

“Sekiranya tradisi ini dipecahkan, keputusan mengejutkan boleh berlaku dengan majoriti tipis memihak kepada Ku Li,” kata Pengarah Eksekutif ILHAM Centre Hisommudin Bakar.

Sebanyak 581 perwakilan Umno dari 101 bahagian seluruh Semenanjung Malaysia terlibat dalam tinjauan itu. Bagaimanapun ILHAM Centre tidak menyatakan kaedah pengundiannya.

Calon pecah undi

Umno mempunyai lebih daripada 2,700 perwakilan dari 191 bahagian di seluruh negara.

Menurut Hisommudin, pandangan daripada kajian dijalankan menunjukkan bahawa anggota di peringkat akar umbi berpihak kepada Ahmad Zahid kerana beliau dilihat pemimpin yang setia dan teruji dalam perjuangan Umno.

Anggota Parlimen Bagan Datuk itu juga dianggap mempunyai imej agama berbanding dua pesaing utama.

Menurut dapatan itu, pemimpin tertinggi Umno Pahang memberikan sokongan kepada Zahid tetapi di peringkat cawangan, keadaan adalah sebaliknya, seperti dilihat dengan kemunculan bekas menteri besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob di majlis Tengku Razaleigh.

Di Johor - negeri tempat Umno dilahirkan - Hisommuddin berkata sokongan dilihat memihak kepada Tengku Razaleigh apabila bekas menteri besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin duduk di sebelah tokoh terbabit ketika dia mengumumkan keputusan untuk bertanding jawatan presiden Umno.

Hisomuddin juga berkata Tengku Razaleigh turut dilihat sebagai pemimpin berpengalaman dan paling sesuai untuk mencabar Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ku Li juga disokong oleh calon-calon ketua bahagian yang mencabar calon sedia ada.

"Hujah mereka yang menyokong Ku Li meletakkan tokoh terbabit bersih daripada skandal dan tidak terpalit dengan Najib Razak,” katanya.

Hisomuddin berkata walaupun Khairy mungkin popular di media, namun para perwakilan sukar untuk menerima idea pembaharuan yang ingin dibawa anggota parlimen Rembau berkenaan.

“Khairy berjaya meraih sokongan tetapi minumum, malah menjadi pemecah undi kepada mereka yang ingin menentang status quo.

"Ini yang memberikan sedikit kelebihan kepada Ahmad Zahid,” katanya.