Remaja perempuan kritikal ditikam
Seorang remaja perempuan kritikal selepas ditikam seorang lelaki di hadapan sebuah asrama pekerja di Lima Kedai, Gelang Patah, dekat Johor Bahru Khamis lepas.
Kejadian berlaku pada jam 8.48 malam ketika kedua-duanya dikatakan bertengkar sebelum suspek bertindak menikam mangsa beberapa kali menggunakan senjata tajam.
Berikutan tikaman itu, mangsa yang berusia 20 tahun dilaporkan cedera di perut dan tangan kiri dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah.
Timbalan Ketua Polis Daerah (Operasi) Iskandar Puteri, Supt Ismail Dollah berkata orang awam telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan gerakan mengesan suspek kemudian dilancarkan.
“Dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, suspek berumur 26 tahun itu akhirnya berjaya ditangkap di kawasan Bukit Mertajam pada 28 Jun pukul 4.40 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismail berkata menerusi siasatan awal, suspek dan mangsa didapati bekerja di kilang sama iaitu di Tanjung Kupang di Johor Bahru namun punca sebenar kejadian masih disiasat.
Suspek pula sudah direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.
- Bernama

