Duterte enggan mohon maaf atas kenyataan 'Tuhan bodoh'
GLOBAL | Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menegaskan tidak akan membuat permintaan maaf berhubung kenyataannya yang menyebut "siapa Tuhan bodoh ini?".
Perkara itu telah disahkan Duterte dan pihak Istana Malacañang.
"Saya tidak akan meminta maaf, tidak dalam jutaan tahun," kata Duterte seperti dilapor Manila Times.
Duterte ketika berucap pada 22 Jun lalu di sebuah program di Davao, Filipina menyorot kisah penciptaan "Adam dan Hawa yang diciptakan Tuhan sebelum dikeluarkan dari syurga."
"Siapa Tuhan bodoh ini? Dia menciptakan sesuatu yang sempurna dan kemudian memikirkan sebuah peristiwa yang akan menghancurkan kualiti pekerjaannya? Bagaimana kita mampu masuk akalkan Tuhan? Bagaimana kita percaya pada Tuhan?" soalnya.
Susulan itu, Duterte menerima kecaman hebat daripada pemimpin parti pembangkang, tokoh masyarakat serta pemimpin agama di negara Katolik terbesar di Asia itu.
Bekas ketua polis negara Filipina, Senator Panfilo Lacson menyifatkan meskipun sering menyokongnya sebelum ini, namun beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Duterte itu.
Sementara pemimpin gereja di Filipina, Eddie Villanueva, menggesa presiden itu membuat permintaan maaf kerana didakwa menghina Tuhan.
Mengulas kecaman itu, Duterte melalui jurucakapnya Harry Roque dipetik media sebagai berkata: "Tuhan yang saya tahu tidak akan menuntut permintaan maaf secara terbuka. Tuhan yang saya tahu adalah Tuhan yang penuh cinta, dan Dia terlalu besar untuk kata-kata yang hanya berasal dari manusia."
Duterte bagaimanapun menyatakan kesediaannya untuk berdialog dengan pemimpin gereja berhubung perkara itu.
Duterte yang menjadi presiden FIlipina pada 2016 sering mengeluarkan kenyataan kesat terhadap pemimpin dunia lain, meskipun ketika mula menjawat jawatan itu beliau pernah berjanji untuk tidak lagi memaki.
Sebelum ini, Duterte pernah menggelarkan bekas presiden Amerika Barrack Obama sebagai "anak pelacur".
Duterte juga pernah menimbulkan kontroversi melalui kenyataan pedasnya terhadap terhadap pemimpin gereja Vatican, Paus Francis.

