Kejadian letupan di sebuah bilik di tingkat satu Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan di ibumegara semalam tidak melibatkan kemusnahan dokumen penting atau geran tanah

Perkara itu disahkan Pengarahnya Sharez Izuan Md Zaidi yang menyerahkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk melakukan siasatan bagi mengetahui punca kejadian.

"Sekarang biar pihak bomba lakukan siasatan... saya tidak mahu ulas lanjut," katanya kepada pemberita selepas menerima lawatan wakil rakyat Parlimen Kepong Lim Lip Eng dan wakil rakyat Bukit Bintang Fong Kui Lun, di lokasi kejadian hari ini.

Mengulas perkara itu, Lim meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, satu letupan kuat berlaku dipercayai akibat satu daripada 63 sistem alat pemadam api jenis aerosol yang dipasang di bilik berkenaan meletup secara tiba-tiba.

Kejadian mengakibatkan pintu serta siling bilik berkenaan rosak namun tiada individu yang cedera.

Susulan kejadian, operasi di tingkat berkenaan ditutup sementara bagi membolehkan kerja pembersihan dan siasatan.

- Bernama