Beberapa pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang mengatakan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 akan dikekalkan walaupun beberapa perkara akan dipinda.

Anggota Parlimen Sepang yang juga pemimpin AMANAH, Hanipa Maidin berkata undang-undang itu perlu dihapuskan seperti dijanjikan dalam manifesto HARAPAN pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

"Pandangan peribadi saya ialah Akta MKN patut dimansuhkan seperti yang dijanjikan, kerana ia tidak mengikut perlembagaan," kata Hanipa kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Mohamad, yang juga presiden AMANAH membuat 'pusingan U' semalam apabila mengatakan kerajaan kini sedang mempertimbangkan untuk "mengkaji semula dan merombak" akta tersebut.

Jika sebelum ini akta MKN dilabelkan sebagai "undang-undang drakonian" oleh pemimpin HARAPAN, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu kini menganggap akta itu sebagai "kenderaan yang baik" untuk kerajaan.

Hanipa yang juga seorang peguam berkata beliau akan menimbulkan perkara itu dalam mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu malam ini.

Maria: Mesti tunaikan janji

Sementara itu anggota parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah juga menuntut HARAPAN mematuhi janji yang dibuat kepada rakyat.

"Sukar diterima apabila HARAPAN mempertimbangkan untuk tidak memansuhkan akta yang pernah disebut sebagai zalim.

"Saya ingin mengingatkan kerajaan bahawa manifesto HARAPAN telah menyatakan bahawa semua undang-undang yang bertentangan dengan prinsip keadilan dan kebebasan rakyat akan dihapuskan dalam tahun pertama pentadbiran baru.

"... kerajaan mesti menunaikan janjinya kepada rakyat," kata Maria dalam satu kenyataan.

Seperti Hanipa, beliau berkata undang-undang itu bercanggah perlembagaan kerana ia melanggar kebebasan individu yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Akta MKN merosakkan hak perlembagaan semua rakyat Malaysia di bawah Artikel 5 - hak untuk bebas, Perkara 10 - hak berucap, berhimpun dan berpersatuan, dan Perkara 13 - Hak memperoleh harta.

"Ia memberikan kuasa melakukan penangkapan tanpa waran, mencari dan merampas harta benda, mengenakan perintah berkurung dan membenarkan tindakan kekerasan tanpa diiktiraf oleh pihak antarabangsa," tambah Maria.

[Baca berita penuh]