Cuma 1 peratus daripada 691 ahli atau penyokong Umno yang ditinjau oleh Merdeka Centre berkata "jujur" dan "amanah" menjadi kriteria penting bagi kepimpinan masa depan Umno.

Para responden mengatakan kriteria yang paling penting adalah mendapat kepercayaan seluruh rakyat Malaysia, mempunyai wawasan untuk mengukuhkan Umno dan membantu menyatu-padukan semua peringkat pemimpin dalam parti.

Hanya 27 peratus daripada responden mengatakan menjadi kriteria utama pemimpin untuk "mendapatkan semula kepercayaan orang Melayu."

Tinjauan itu dijalankan antara 25 Jun hingga 28 Jun. Sebanyak 69 peratus responden ialah ahli Umno biasa, 8 peratus pula penyokong tetapi bukan ahli parti manakala selebihnya merupakan pemegang jawatan parti di pelbagai peringkat. Manakala 25 peratus responden terdiri daripada perempuan.

Secara keseluruhannya, 83 peratus yang ditinjau dalam kaji selidik bersetuju Umno menghadapi masalah sementara sebanyak 58 peratus mengatakan parti itu kini berada dalam kedudukan "goyah" atau "tenat."

Tiga perkara utama yang menyumbang prestasi buruk BN pada pilihan raya umum ke-14 adalah: Datuk Seri Najib Razak (sebanyak 40 peratus responden), GST (22 peratus) dan 1MDB (14 peratus).

Hanya 6 peratus daripada responden yang menyifatkan prestasi BN terjejas akibat kempen Pakatan Harapan manakala 2 peratus lagi menyalahkan undi terpecah dengan PAS.