Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'KJ kesal, Zahid bertahan, Ku Li berpengalaman'
Diterbitkan:  Jun 29, 2018 11:24 PM
Dikemaskini: 4:58 PM

Malam ini berlangsung 'Debat Presiden Umno' yang disiarkan secara langsung di saluran stesen televisyen tempatan.

Ia membariskan tiga calon presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar ke udara di Astro Awani bermula sejak jam 9.30 malam tadi.

Dalam debat yang berlangsung selama kira-kira sejam dengan moderator Kamarul Bahrin Haron bertanyakan soalan dalam tiga pusingan, ketiga-tiga calon membentangkan wawasan dan gagasan mereka, jika berjaya memenangi jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti pada esok hari, 30 Jun.

Pemimpin veteran Umno yang dikenali sebagai Ku Li mengimbas pengalaman beliau bersama pemimpin pengasas Umno, Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak ketika menjawab soalan hadirin mengenai cara menawan sokongan golongan muda kepada Umno.

"Kena ajak orang muda dan mesti janjikan empowerment kepada mereka supaya diberikan tugas tertentu.

"Saya ingat pengalaman saya apabila Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak memanggil kita, memberikan tugas kepada kita. Diuji dan dicuba untuk tengok setara mana mampu lakukan tanggungjawab.

"..dan kita sedaya upaya mesti melaksanakannya. Kadangkala menegur, kadangkala marah kita. Semua itu pengajaran kepada kita," katanya.

1MDB tegakkan benang basah

Manakala, Khairy yang dikenali sebagai KJ juga beberapa kali mengulang pengakuan kesilapannya sebagai Ketua Pemuda Umno kerana tidak benar-benar menegur kerajaan mengenai skandal 1MDB yang disifatkannya sebagai punca kekalahan BN pada PRU14 lalu.

"Kekalahan ini bukan sebab persepsi tapi realiti.

"Kita menegakkan benang yang basah (dengan skandal 1MDB).

"Bila kita tak terus menyoal menyuarakan 1MDB maka jadilah seperti hari ini. Ini kekesalan saya sepanjang hayat," kata anggota parlimen Rembau itu.

Bagaimanapun, naib presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas presiden parti, Zahid Hamid bertindak mempertahankan BN, berkata beliau yakin gabungan itu masih lagi mendapat undi popular, mendakwa memperolehi 46 peratus undi pada PRU14 lalu.

Fitnah, persepsi negatif dapat diatasi

"Sebenarnya kita punya undi popular sebanyak 46 peratus.

"Tidak mustahil, fitnah, persepsi negatif dapat diatasi," dakwanya.

Menurut Zahid ini kerana seteru BN menggunakan pendekatan bukan kebiasaan di dalam media sosial sebagai antara punca kekalahan parti itu.

"Penggunaan sosial media... Seteru kita guna pendekatan non konvensional.

"Di luar sana terdapat penyesalan apabila mereka tidak memilih BN (pada PRU14 lalu)," kata anggota parlimen Bagan Datuk ketika menjawab soalan hadirin tentang kaedah mendapatkan kembali sokongan orang Melayu selepas PRU14

Manakala itu, dalam suatu pusingan debat, calon-calon presiden saling bertukar-tukar pertanyaan.

'Penerima dana 1MDB akan dipanggil SPRM'

Cukup menarik apabila Ku Li bertanyakan Zahid mengenai akaun Umno yang dibekukan, keterlibatan orang-orang yang dahulunya di dalam kerajaan dan jika mereka terpilih sejauh mana pula akan menjejaskan parti.

"Lebih 900 akaun dibekukan antaranya akaun yang dioperasikan badan-badan perhubungan Umno negeri.

"Secara tak langsung pengerusi badan perhubungan akan dipanggil SPRM. Individu yang pernah terima dana daripada 1MDB secara langsung atau Yayasan 1MDB akan dipanggil SPRM.

"Kita semua harus terbuka menerima siasatan SPRM," maklum Zahid.

Dalam soalan balasnya, Zahid dengan mengambil kira latar belakang Ku Li sebagai menteri kewangan bertanyakan beliau mengenai situasi ekonomi negara sekarang serta langkah-langkah yang sepatutnya dilakukan.

Galakan dan insentif

"Berhenti guna kerajaan daripada melabur....banyak syarikat tajaan kerajaan atau agensi yang menjalankan perniagaan tidak mendatangkan keuntungan.

"Lebih baik tumpukan bagi galakan dan insentif tak kira bumiputera atau tidak," kata anggota parlimen Gua Musang itu..

Kedua-dua calon presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berdebat dari studio Astro Awani.

Manakala Zahid Hamidi berdebat melalui sidang video dari Bagan Datuk.

Sebelum ini, Ahmad Zahid menolak cabaran debat itu kerana berpendapat isu dalaman parti tidak perlu dibincangkan secara umum sebelum mengubah pendiriannya menyertai debat malam ini.

Pemilihan Umno yang berlangsung esok akan melibatkan 165,000 perwakilan di 191 bahagian di seluruh negara. Keputusan dijangka diketahui menjelang 1 pagi Ahad, 1 Julai.

Lihat Komen
ADS