Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hospital Rembau lewat siap, k'jaan tanggung kos RM8 juta

Kerajaan terpaksa menanggung kos tambahan sebanyak RM8 juta berikutan kelewatan pembinaan Hospital Rembau, yang sepatutnya dijadualkan siap pada 8 September 2016.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata hospital tersebut yang mula dibina pada September 2013 dengan kos asal RM96 juta, kini meningkat kepada RM104 juta.

Beliau menjangkakan hospital itu akan siap pada suku pertama tahun hadapan walaupun pihak kontraktor yakin dapat menyiapka projek tersebut menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata antara masalah yang menyebabkan hospital itu mengalami kelewatan adalah berpunca daripada kontraktor dan juruperunding termasuk membabitkan pelan binaan pada peringkat awal.

"Kalau berlaku kelewatan lagi, pihak kementerian tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual.

Ini bagi mengelak kerajaan menanggung limpahan kos,“ katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja ke tapak pembinaan Hospital Rembau, di Rembau hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan dan Pengarah Kesihatan negeri Dr Zainudin Mohd Ali.

Dr Dzulkefly berkata tindakan tegas turut akan diambil terhadap kontraktor yang bermasalah seperti dikenakan penalti, disenarai hitam dan tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam mana-mana tender kerajaan.

Beliau juga berkata kementerian kini turut memantau 23 projek sakit, termasuk klinik dan hospital, yang mengalami kelewatan 20 peratus dalam kemajuan pembinaan berbanding jadual yang ditetapkan di seluruh negara.

"Saya akan memerhatikan satu-persatu projek yang sakit ini dan akan memberikan amaran kepada kontraktor yang terlibat agar dapat menyiapkannya mengikut jadual,” katanya.

Justeru, katanya, selepas ini, pihaknya akan memastikan pemberian tender mestilah berdasarkan kepada pencapaian, kedudukan kewangan, pengalaman dan kejayaan syarikat menyiapkan projek mengikut jadual.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS