Umno mungkin lancar tabung kutip derma
Umno mungkin melancarkan tabung khas bagi mengutip derma jika akaun bank parti itu terus dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perkara itu masih pada peringkat cadangan dan akan dibincangkan dengan barisan exco, lusa.
"Kita tidak tahu sampai bila akaun akan dibekukan. Sekiranya perlu, kita akan mengisytiharkan tabung mengutip derma bagi membiayai program dijalankan," katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau juga berkata semangat Umno tidak luntur walaupun terkesan dengan pembekuan akaun parti, termasuk pembayaran gaji pekerja yang terjejas.
"Mereka mahu lakukan apa sahaja terhadap Umno, kita tidak kisah kerana saya melihat semangat ahli, khususnya Pemuda tidak akan mengalah sebab duit bukan segala-galanya.
"Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU) dan pemilihan minggu lalu, Pemuda sudah memberi isyarat bahawa yang kita pentingkan ialah perjuangan dan bukannya wang.
"Semakin ditekan, semakin kita bangkit. Semangat kita tidak akan terjejas hanya kerana akaun parti dibekukan. Mereka tidak boleh menutup semangat perjuangan kita," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Pemuda Umno Kelantan, di Kota Bharu, malam tadi.
SPRM kelmarin mengumumkan suruhanjaya itu membekukan akaun bank Ibu Pejabat Umno Pusat dan Selangor kerana dikatitkan dengan 1MDB.
Semalam media melaporkan akaun bank parti itu adalah salah satu daripada 900 akaun bank yang dibekukan.
Pasukan petugas khas 1MDB yang mengesahkan pembekuan akuan berkenaan bagaimanapun memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara adil, profesional dan mengikut undang-undang ditetapkan.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, beliau tidak akan bertanding pada PRU akan datang sekiranya gagal menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda Umno.
"Dalam tempoh tiga tahun ini, saya menyasarkan untuk membina asas Pemuda menerusi program pengkaderan dan pentarbiahan.
"Justeru, saya berharap jentera Pemuda Umno sama-sama membantu menguatkan kembali parti bagi meraih semula keyakinan rakyat," katanya.

