Kes Scorpene: NGO ulangi gesaan batal senarai hitam terhadap peguam
Beberapa NGO menggesa Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin membatalkan tindakan senarai hitam yang dikenakan ke atas peguam Perancis William Bourdon bagi memudahkan siasatan kehakiman dalam kes Scorpene di Perancis.
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berkata mereka telah bertemu Menteri Pertahanan Mohamad Sabu untuk memberi penjelasan mengenai kes yang sedang berjalan di Mahkamah Perancis.
William Bourdon, yang terlibat dengan Suaram dan memfailkan saman undang-undang di Perancis berhubung pembelian dua kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia sebelum ini, membayangkan beliau sanggup memberi taklimat kepada kerajaan baru mengenai kes itu.
Beliau dihalang memasuki negara ini pada tahun 2011 selepas menghadiri salah satu daripada tiga majlis makan malam bagi mengumpul dana anjuran Suaram, di mana beliau mengadakan taklimat mengenai kes itu.
"Kami memaklumkan kepada Kementerian Pertahanan bahawa peguam Perancis yang mewakili Suaram, William Bourdon, mahu berurusan untuk datang ke Malaysia dan bertemu menteri pertahanan bagi membincangkan bagaimana kerajaan Malaysia yang baru dapat memperluas kerjasama dalam inkuiri di Perancis.
"Ia mengingatkan bahawa skandal rasuah Scorpene yang berasal dari pembelian dua kapal selam kelas Scorpene pada tahun 2002 merupakan salah satu rompakan kerajaan Barisan Nasional terhadap rakyatnya, yang dilakukan atas nama rahsia negara dan keselamatan," kata kenyataan yang dikeluarkan semalam oleh pengarah eksekutif C4 Cynthia Gabriel dan pengarah eksekutif Suaram Sevan Doraisamy.
Dalam kenyataan bersama itu, kedua-dua kumpulan itu menegaskan bahawa skandal ini membabitkan kerahsiaan dan keterlibatan kepimpinan tertinggi negara ini.
Mereka yakin kini adalah masa yang tepat bagi prosiding Scorpene dipindahkan ke mahkamah yang lebih tinggi di Perancis "di mana mereka yang terlibat akan didakwa".
"Pusat C4 dan Suaram mengalu-alukan komitmen menteri pertahanan untuk bertemu dengan peguam William Bourdon untuk memudahkan siasatan kehakiman," kata mereka.

