Dokumen kewarganegaraan kepada PATI, Upko akan lapor polis
Pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata pihaknya akan membuat laporan polis berkenaan beberapa artikel di media sosial yang menuduh kerajaan memberikan dokumen kewarganegaraan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI).
Timbalan ketua menteri Sabah berkata laporan polis itu akan dibuat dalam masa terdekat untuk menggesa pihak berkuasa menyiasat pihak tidak bertanggungjawab yang membuat tuduhan terhadap kerajaan baharu negeri Sabah.
"Sekarang kita lihat banyak artikel diviralkan melalui media sosial mengenai perkara berkenaan (kononnya kerajaan memberi dokumen kewarganegaraan kepada PATI) dan kita mahu tahu siapa yang membuat artikel berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kuiz Lisan Pengetahuan Alkitab Sijil Pelajaran Malaysia peringkat negeri Sabah 2018 di Sekolah Menengah Lok Yuk, di Kota Kinabalu hari ini.
Baru-baru ini kerajaan Sabah mengumumkan akan melaksanakan ‘pemutihan’ bagi sektor perladangan dan mengeluarkan dokumen khas bagi pekerja asing yang bekerja dalam sektor itu.
Berikutan pengumuman itu, pelbagai kenyataan dan artikel daripada pihak tertentu telah diviralkan melalui media sosial sama ada Facebook dan WhatsApp kononnya ia adalah langkah kerajaan baharu Sabah yang diterajui Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk memberi dokumen kewarnegaraan kepada PATI.
Dalam perkembangan lain, Madius berkata UPKO menggalakkan lebih ramai pelajar beragama Kristian di Sabah untuk mengambil mata pelajaran Pengetahuan Alkitab.
“Peluang untuk mengambil mengambil mata pelajaran Pengetahuan Alkitab sangat penting kerana ia akan menjadikan seseorang pelajar itu lebih baik dalam pengetahuan rohani yang diyakini boleh membentuk perangai serta tingkah laku pelajar.
“Oleh itu kami di peringkat UPKO melalui Biro Pendidikan akan terus menyokong dan membantu sekolah-sekolah yang menawarkan mata pelajaran itu di seluruh Sabah, khususnya penyediaan buku teks mata pelajaran berkenaan,” katanya.
Beliau berkata setakat ini 30 sekolah di Sabah menawarkan mata pelajaran berkenaan, antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Kiulu, SMK Bundu Tuhan dan SMK Tanghilan.
Mengulas mengenai Kuiz Lisan Pengetahuan Alkitab itu, Madius berkata sebanyak 735 pelajar di 30 sekolah di Sabah menyertai kuiz itu yang diadakan masing-masing di Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu.
“Beberapa pelajar yang menyerti kuiz itu akan dipilih untuk mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan di Petaling Jaya, Selangor pada 4 Ogos depan,” katanya.
- Bernama

