Tan Sri Noh Omar tetap dengan pendiriannya untuk berundur daripada jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor yang disandangnya sejak 2014.

Beliau berkata pengunduran itu dibuat bagi mengambil tanggungjawab berikutan kekalahan Umno Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu.

“Saya dah umum bahawa saya juga kena ambil tanggungjawab Selangor kalah walaupun rakan-rakan kata tak boleh pegang janji saya sebab bukan hanya Selangor sahaja kalah. Negeri yang dulu menang pun kalah.

“Tapi saya kena tunaikan janji saya bahawa lepas ini iaitu selepas presiden dilantik, saya akan letak jawatan sebagai pengerusi perhubungan.

"Kalau nak dilantik semula pun saya akan tolak,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Mesyuarat Pemilihan peringkat bahagian di Dewan Datuk Hormat Tanjong Karang, hari ini.

Katanya, beliau kini mahu memfokuskan peranan sebagai anggota parlimen Tanjong Karang selain meminta supaya Umno menggantikan muka baru sebagai penggantinya.

Noh pertengahan bulan ini mengumumkan akan melepaskan jawatan tersebut tetapi menawarkan diri bagi merebut jawatan ahli Majlis Tertinggi Umno (MT) pada pemilihan parti itu.

Pada PRU 14 lalu, Umno menerusi BN di Selangor hanya berjaya memenangi empat kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Sementara itu, mengulas mengenai isu pendaftaran Umno, Noh berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

Tegasnya, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sebelum ini telah memberi kebenaran untuk Umno menangguhkan pemilihannya sehingga April 2019.

“Kalau ROS kata nak batal, kita ada hujah sendiri sekiranya isu ini sampai ke mahkamah, tapi kita ikut undang-undang. Biar mahkamah putuskan.

“Kita pegang keputusan ketua pengarah ROS sebelum ini. Kalau keputusan dipertikaikan, kita biarkan mahkamah buat keputusan,” katanya.