Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak akan meninggalkan kumpulan perbankan berkenaan sebelum tempoh jawatannya berakhir pada Mac tahun depan, lapor The Star hari ini.

Adik kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu telah memaklumkan kepada lembaga pengarah CIMB bahawa beliau tidak berhasrat mengisi semula jawatan yang telah disandangnya sejak 2014.

Nazir sebelum ini pernah berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) CIMB selama 15 tahun.

"Beliau (Nazir) telah memberitahu lembaga itu bahawa beliau akan berundur dan tidak berhasrat dipilih semula. Lembaga pengarah telah pun mencari seorang pengganti," kata sumber itu.

Malaysiakini telah menghubungi Nazir untuk mendapatkan pengesahan.

Sebelum ini terdapat spekulasi mengatakan Nazir akan meninggalkan CIMB lebih awal sebelum tempohnya berakhir pada Mac.

Sumber itu bagaimanapun berkata setakat ini, tidak ada tanda bahawa terdapat mana-mana pihak menggesa pengunduran itu.

"Beliau tidak dipanggil oleh Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) atau orang lain," sumber itu dilaporkan berkata.