PAS mengucapkan tahniah kepada Recep Tayyip Erdogan kerana memenangi pilihan raya presiden negara itu baru-baru ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi AWang berkata, parti itu berasa sangat gembira dengan kejayaan dicapai Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pimpinan Erdogan.

"Kami ingin mengucapkan tahniah kepada Recep Tayyip Erdogan dan AKP.

"Kami berharap anda berjaya dalam menjaga kebajikan rakyat dan menegakkan kedudukan Islam di dunia," katanya melalui hantaran dimuat naik di Facebook.

Meskipun ia langkah yang lazim, ucapan tersebut dilihat sedikit berbeza berbanding sikap seorang lagi pemimpin kanan parti itu yang cenderung berharap parti lain memenangi pilihan raya berkenaan.

Menganggap AKP dianggotai kumpulan liberal, sekular dan Islamik, Bendahari Dewan Ulama Pusat PAS Datuk Dr Khairuddin Aman Razali dilihat berharap agar Parti Saadat mengalahkan pencabar lain.

Malah anggota parlimen Kuala Nerus itu juga melawat Turki ketika negara itu mengadakan pilihan raya dan memuat naik gambarnya bersama penyokong Parti Saadat.

Jika AKP dianggap Khairuddin sebagai mendapat sokongan liberal, Parti Saadat pula digambarkannya sebagai "parti Islam".

Dalam catatan di Facebook beliau sebelum ini Khairuddin turut menjelaskan bagaimana strategi Parti Saadat cuba mengurangkan sokongan pengundi kepada Erdogan sehingga memungkinkan pilihan raya pusingan kedua diadakan.

"Parti Saadat pula sekiranya tidak memenangi pusingan pertama, berkemungkinan boleh memberikan sokongan kepada Erdogan yang lebih Islamis sekiranya ditakdirkan kekal menang untuk pusingan kedua, dengan meletakkan syarat-syarat yang berasaskan prinsip dan dasar yang selaras dengan Islam dan menguntungkan rakyat," katanya pada 24 Jun lalu.

Di peringkat domestik pula, anggota parti daripada golongan konservatif pernah menggelar pihak yang bertentangan dalam parti itu sebagai Erdogan.

Krisis berkenaan akhirnya membawa kepada perpecahan dalam PAS pada 2015 dan melahirkan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Untuk rekod AMANAH kini menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat, manakala PAS kekal mentadbir Kelantan serta menawan Terengganu pada 9 Mei lalu.

Erdogan disahkan menang dalam pilihan raya tersebut apabila partinya mendapat kira-kira 53 peratus undi keseluruhan.