Misteri 'provokasi' pesuruhjaya PAS Perak
Seperti iklan biskut yang terkenal suatu ketika dulu: Sekejap ada, sekejap tak ada.
Sejurus selepas dihubungi berkaitan satu hantaran di media sosial, kenyataan spontan - dan ringkas - dibuat oleh seorang pemimpin kanan PAS hilang tidak dapat dikesan.
Hantaran itu sebenarnya biasa saja, kecuali apabila Razman Zakaria menggunakan perkataan "pendatang" bagi mengiringi satu berita mengenai Lim Guan Eng.
"Kemuncak kepada kegemilangan Pakatan Harapan, Melayu dilondeh oleh pendatang. Stop," tulis Razman pada Facebooknya petang ini.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Razman yang juga bendahari pusat PAS berkata kenyataan itu tidak ditujukan kepada sesiapa.
Sebaliknya kata Razman ia cuma dibuat untuk menjadi provokasi.
"Tak ada (merujuk kepada) siapa-siapa... saja.
"Tak ada apa-apa, saja provokasi," katanya ketika dihubungi melalui telefon.
Sejurus selepas itu semakan Malaysiakini mendapati hantaran tersebut tiada lagi pada akaun Facebook Razman.

Untuk rekod, selain menjadi bendahari Razman juga ialah anggota dewan undangan negeri Gunong Semanggol serta yang dipertua PAS Lenggong.
Semalam, kerajaan dilaporkan akan cuba menjual kebanyakan barangan mewah dirampas pihak berkuasa dari kediaman yang mempunyai kaitan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Bercakap kepada Associated Press (AP) dalam temu bualnya Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata barangan yang dianggarkan bernilai sehingga RM1.1 bilion itu hanyalah sebahagian kecil daripada RM50 bilion yang didakwa disalahgunakan daripada 1MDB yang ditubuhkan Najib.
Selain menjadi setiausaha agung DAP, Lim ialah menteri kewangan kerajaan Pakatan Harapan.

