Zahid dapat timbalan dari Negeri Sembilan
Bekas menteri besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan secara rasmi menjadi regu buat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memulihkan maruah Umno yang runtuh selepas kecundang dalam pilihan raya umum lalu.
Setakat jam 9.45 malam ini Mohamad mendapat 75 undi dan meninggalkan pencabarnya dari Ketereh, Kelantan, Tan Sri Annuar Musa dengan kelebihan 20 undi.
Mohamad merupakan anggota dewan undangan negeri (ADUN) untuk kerusi Rantau di Negeri Sembilan.
Pada 9 Mei lalu, beliau memenangi kerusi itu tanpa perlu bertanding apabila pencabarnya calon PKR, Dr S Streram, gagal menghantar borang penamaan calon di pusat penamaan calon di Dewan Sri Rembau.
Mohamad dilihat sebagai 'pemimpin bersih' dalam Umno kerana tidak banyak dikaitkan dengan skandal, selain popular di kalangan akar umbi.
Terdahulu, Ahmad Zahid berjaya memenangi jawatan presiden dalam pemilihan parti itu hari ini.

