Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menyeru agar anggota Umno berhenti berbalah dan tidak membuat tohmahan yang boleh menjejaskan perpaduan parti itu.

Jelas Najib, perkara itu perlu bagi memulihkan kekuatan Umno untuk mengangkat perjuangan agama, bangsa dan negara.

"Ahli-ahli Umno perlu meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan dalam usaha membina semula kekuatan parti.

"Kita juga hendaklah belajar dari kesilapan lepas, kuatkan perpaduan dan kasih sayang sesama ahli Umno," katanya.

Kenyataan itu dibuat ketika Umno selesai mengadakan pemilihan parti bagi menentukan barisan pimpinan baru yang akan menerajui parti itu.

Sepanjang tempoh berkempen, beberapa pemimpin Umno dilihat cuba menjarakkan diri daripada dikaitkan dengan bekas presiden mereka dan skandal 1MDB.

Khairy Jamaluddin yang bertanding jawatan presiden sebelum ini menyatakan kekesalan tidak berterus terang dengan Najib berhubung kemelut yang dihadapi parti itu yang diterajuinya.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula hari ini menuding jari pada keangkuhan pemimpin Umno yang menyebabkan parti itu dihukum pengundi.

Anggota Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa yang bertanding untuk jawatan timbalan presiden semalam mendedahkan beliau pernah menegur Najib berhubung isu 1MDB.

Mengulas lebih lanjut, Najib berkata, orang Melayu tidak boleh berharap kepada kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk memperjuangkan nasib mereka.

Ini kerana, katanya, kekuatan parti Melayu dalam gabungan itu datang dari sokongan orang bukan Melayu.

"Setakat ini, kerajaan HARAPAN mengizinkan pencabulan bahasa Melayu, agenda Islam dan bumiputera juga tidak akan mendapat tempat utama dalam pentadbiran mereka.

"Saya pernah sebut Melayu akan terbangsat di negara sendiri jika Umno hilang kuasa. Kita sudah terlepas kuasa dan mesti tabah hadapi ujian Allah.

"Insya-Allah, dengan adanya perpaduan yang lebih kukuh dan kasih kepada parti, Umno boleh mengembalikan semula keyakinan rakyat terutamanya orang Melayu," katanya.