Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan disaran ikut Melaka iktiraf sijil UEC
Diterbitkan:  Jul 1, 2018 11:46 AM
Dikemaskini: 3:48 AM

Kerajaan persekutuan perlu mengikuti contoh tauladan yang dilakukan kerajaan negeri Melaka yang mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah persendirian Cina sebagai kelayakan rasmi, kata anggota parlimen DAP.

Pengumuman Ketua Menteri Adly Zahari baru-baru ini bahawa kerajaan Melaka akan mengiktiraf sijil UEC sebagai kelayakan memasuki perkhidmatan awam negeri itu disambut baik Anggota Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Dalam kenyataan hari ini, Khoo memaklumkan pada masa hadapan polisi itu boleh diperluaskan ke bidang-bidang lain seperti pendidikan dan syarikat milik kerajaan.

Beliau juga menjelaskan kerajaan negeri HARAPAN telah melakukan lebih banyak usaha mengenai UEC dalam tempoh dua bulan berbanding BN dan MCA yang gagal selama 60 tahun dan menggesa kerajaan persekutuan untuk melakukan perkara yang sama.

"Di peringkat persekutuan, saya menggesa kerajaan supaya ikut serta mengambil langkah segera untuk mengiktiraf UEC.

Setaraf kelayakan am

"Dalam manifesto HARAPAN, kami telah berjanji untuk mengiktiraf UEC sebagai setaraf dengan kelayakan am sedia ada bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam," katanya dalam kenyataan hari ini.

UEC, dikeluarkan kepada graduan sekolah persendirian Cina, diiktiraf oleh institusi pengajian tinggi swasta tempatan dan banyak universiti di luar negara, serta kerajaan Sarawak.

Khoo juga berkata pengumuman kerajaan negeri itu dilihat sebagai langkah progresif ke arah mengiktiraf pendidikan berkualiti memandangkan UEC telah diiktiraf secara meluas di universiti terkemuka di seluruh dunia.

"Mengiktirafnya sebagai sebahagian daripada kemasukan perkhidmatan awam akan menarik kemasukan ramai bakat baru ke dalam kerajaan negeri," katanya.

Lihat Komen
ADS