Kesal dengan insiden perkahwinan bawah umur membabitkan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun, Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) menggesa kerajaan agar bertindak tegas terhadap beberapa perkara termasuk meminda Akta Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak.
Dalam satu kenyataan hari ini, NCWO yang mewakili gabungan 77 badan bukan kerajaan (NGO) peringkat nasional dan 130 NGO negeri juga mahu kerajaan mendakwa lelaki tersebut sebagai pelaku jenayah mengikut kanun jenayah selain membawa perkara ini ke Majlis Raja-Raja bagi memohon diselaraskan undang-undang Mahkamah Syariah dan jabatan agama di setiap negeri supaya memberhentikan kebenaran perkahwinan kanak-kanak.
“NCWO bersedia untuk memberi kerjasama dan sokongan terhadap tindakan meminda dan memperkasakan penguatkuasaan undang-undang, menyediakan perkhidmatan sokongan tertentu serta mengadakan program kesedaran bagi membanteras kes perkahwinan kanak-kanak demi menjamin keselamatan dan masa depan kanak-kanak di negara ini,” menurut kenyataan itu.
Perkahwinan membabitkan bawah umur menjadi isu hangat apabila beberapa keping gambar menunjukkan seorang lelaki berusia 41 tahun melangsungkan perkahwinan dengan seorang budak perempuan berusia 11 tahun sebagai isteri ketiganya. Ia menjadi tular di media sosial sejak semalam selepas perkara itu dikongsikan oleh isteri kedua lelaki terbabit.
Lelaki tersebut yang berasal dari Gua Musang, Kelantan didakwa melangsungkan perkahwinan di negara jiran dengan ditemani ibu bapa budak perempuan itu yang dikatakan warga negara jiran.
- Bernama
