ADUN S'gor, Shuhaimi Shafiei meninggal dunia
Pakatan Harapan khususnya PKR menerima berita menyedihkan apabila anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei dikhabarkan meninggal dunia pagi ini.
Bekas setiausaha politik kepada menteri besar Selangor itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11.10 pagi di Pusat Perubatan Subang Jaya akibat menghidap penyakit kanser limfoma.
Perkara itu turut dimaklumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali menerusi Facebooknya.
"Al Fatihah. Saya amat sedih di atas kehilangan seorang teman sejati dalam perjuangan.
"Semoga roh allahyarham Shuhaimi Shafiei ditempatkan di syurga yang penuh nikmat Allah SWT," tulis Azmin.
Menurut kenyataan media Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah, jenazah allahyarham akan diuruskan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam sejurus selepas selesai urusan di hospital.
"Jenazah kemudian akan disemadikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21 Shah Alam yang dijangka selepas solat Asar," katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lalu, Shuhaimi menang dengan majoriti 12,480 undi dalam pertandingan empat penjuru menentang calon BN, PAS dan PRM.
Shuhaimi, 50, bagaimanapun tidak hadir ke majlis mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, pada 26 Jun lepas, atas faktor kesihatan.

