Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membunuh anak saudaranya berusia empat tahun, dipercayai dengan menikam mangsa sebanyak 59 kali.

Goh Jie Kiat, 22, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh adalah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Lelaki itu didakwa membunuh Serena Yip Pei Yee, 4, di sebuah rumah di Jalan Kuang Gunung 4, Taman Kepong, di Kuala Lumpur antara 7 hingga 8 malam pada 18 Jun lepas mengikut Seskyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K. Vasugi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 3 Sept depan untuk sebutan semula kes.

- Bernama