Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bermula sebagai seorang sukarelawan untuk DAP pada 2012, Anggota Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin dilihat meningkatkan kerjaya politiknya pada usia muda.

Hari ini, beliau melonjak satu langkah lagi ke hadapan dalam karier politiknya apabila dilantik menjadi Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar.

Yeo, 35, yang juga penolong setiausaha publisiti DAP dan naib pengerusi pemuda Pakatan Harapan pernah menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama dari 2013 hingga 2018 selepas menewaskan calon MCA Lim Choon Kin pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan 37,303 undi dan majoriti 30,689 undi.

Dilahirkan pada 26 Mei 1983, beliau mendapat pendidikan sekolah rendah dan menengah di Johor sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Petronas di Perak menerusi biasiswa Petronas serta memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian Kelas Pertama.

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Falsafah dalam Kejuruteraan Kimia menerusi Biasiswa Gates Cambridge di Universiti Cambridge, United Kingdom dan berjaya memperoleh Ijazah Sarjana dalam Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian.

Dengan kelulusan yang dimiliki, Yeo mampu meraih pendapatan lumayan sebagai seorang jurutera, bagaimanapun beliau memilih untuk berkhidmat kepada rakyat dan melakukan kerja-kerja kemasyarakatan.

Ketika menjadi ADUN Damansara Utama, beliau menawarkan khidmat tuisyen kepada pelajar berusia 7 hingga 17 tahun daripada keluarga miskin di Damansara Bistari dan Kampung Chempaka, selain menjalankan program bank makanan, yang menyediakan bantuan makanan kepada golongan yang memerlukan.

Dalam usaha mendekati golongan muda, Yeo telah menubuhkan program LEAP (Kepimpinan, Pendidikan, Aktivisme dan Politik) bertujuan memberi pendedahan serta didikan kepada golongan muda mengenai proses dan aktiviti politik di Malaysia.

Dalam pada itu, beliau juga mengasaskan Program Lawatan Anak Muda (LAM) yang membolehkan peserta program melawat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Selangor serta memberi peluang kepada setiap peserta untuk bersoal jawab dengan anggota parlimen.

Pada PRU14, Yeo sekali lagi bertanding di kerusi parlimen Bakri dan menewaskan calon MCA Koh Chon Chai dengan memperoleh 38,718 undi dan majoriti 30,689 undi.

Menerusi catatan dalam blog miliknya, yeobeeyin.com, beliau berkata akan memastikan misi merealisasi agenda parlimen dan isu-isu tempatan tercapai.

- Bernama

Lihat Komen
ADS