Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

WAWANCARA | Menteri paling muda dalam kabinet Pakatan Harapan (HARAPAN) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertekad membuktikan kemampuannya terhadap mereka yang ragu-ragu dengan pelantikannya mengemudi Kementerian Belia dan Sukan.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini semalam, pemuda berusia 25 tahun itu berkata keraguan sama turut muncul sebelum ini ketika beliau dilantik sebagai ketua pemuda BERSATU, satu-satunya wakil pemuda dalam Majlis Presiden HARAPAN, serta calon kerusi Parlimen Muar bagi berdepan bekas menteri Datuk Seri Razali Ibrahim pada PRU yang lalu.

"Saya fikir respons terbaik kepada mereka yang ragu-ragu adalah dengan membuktikan saya mampu berkhidmat untuk mereka, mampu membangkitkan suara anak muda dan tiada anak muda yang tertinggal," katanya yang menyertai barisan anggota parlimen HARAPAN dalam majlis angkat sumpah di Istana Negara pagi tadi.

"Saya berbesar hati, pada masa sama pelantikan ini meletakkan tanggungjawab besar di bahu saya," katanya ketika ditanya berhubung reaksi awalnya berhubung pengumuman ditunggu-tunggu itu, yang mengakhiri pelbagai spekulasi berhubung barisan kabinet HARAPAN.

Beliau berkata pelantikan itu bukan saja menandakan pengiktirafan kerajaan HARAPAN terhadap kepampuan pemimpin muda, tetapi boleh meningkatkan keyakinan golongan muda untuk memainkan peranan pemimpin dalam kapasiti masing-masing.

"Kepada anak muda di luar sana, akan ada yang mengatakan anda terlalu muda, kurang pengalaman dan tidak matang untuk menyertai proses membina negara.

"Tetapi jangan bimbang, selagi anda bersemangat dan bermotivasi, selagi kita anak muda kekal bersatu dan cintakan negara, impian saja boleh menjadikan perkara mustahil menjadi nyata," katanya lagi.

Beliau menyatakan penghargaan, antara lain, terhadap aktivis Adam Adli Abdul Halim yang menurutnya menjadi inspirasi untuknya bersuara dalam pelbagai isu.

"Jika kerajaan sekarang boleh mengiktiraf nilai seorang yang berusia 25 tahun, saya yakin mereka akan turut mengiktiraf suara anak muda di pelbagai peringkat usia, kaum dan agama."

Berbeza dengan bekas menteri sebelum ini Khairy Jamaluddin yang dikenali terlibat aktif dalam sukan, Syed Saddiq lebih dikenali dengan pencapaiannya sebagai pendebat ketika belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Ditanya sama ada beliau melihat dirinya mampu mengambil alih peranan Khairy dalam mempromosikan gaya hidup sihat, Syed Saddiq hanya tersenyum dan berkata: "Tunggu dan lihat, dan sertai saya."

"Saya tidak masuk ke Maktab Tentera Diraja tanpa sebarang sebab," katanya lagi.

Mengupaya anak muda

Berhubung perancangan segeranya sebagai menteri, Syed Saddiq berkata beliau ada senarai idea yang akan dilaksanakan tetapi tidak mendedahkannya kerana mahu berunding dengan pegawai kanan kementerian itu yang lebih berpengalaman.

Berikrar untuk melaksanakan dasar tiada tolak ansur terhadap korupsi, beliau bagaimanapun menjamin tidak akan segera melakukan "pemburuan" bagi membangkitkan kesalahan yang dibuat pentadbiran terdahulu.

"Saya ingin jelaskan - saya tidak mahu kemasukan saya hanya dilihat sebagai usaha memburu (witch hunt) kesilapan kerajaan dulu. Saya tak mahu hanya fokus kepada kesilapan lalu, itu bukan cara yang baik untuk bermula.

"Akan ada pembersihan tetapi ia tak akan tertumpu kepada 'pemburuan' (kesilapan lalu)," katanya.

Beliau mahu kejayaan kementeriannya diukur dengan kebolehan mengupayakan golongan muda untuk menyertai proses pembinaan negara.

Selain berjumpa pegawai kanan kementerian, beliau berkata rancangan segeranya adalah untuk mengadakan lawatan rasmi ke Sabah dan Sarawak bagi menilai kemudahan sukan sedia ada dan menentukan sama ada ia memerlukan penambahbaikan.

Kabinet Pakatan Harapan mempunyai 26 menteri penuh, dengan 13 daripadanya mengangkat sumpah hari ini.

Lihat Komen
ADS