Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ADUN Pahang angkat sumpah, speaker dilantik semula
Diterbitkan:  Jul 2, 2018 2:58 PM
Dikemaskini: 7:01 AM

Semua 42 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang mengangkat sumpah jawatan pada persidangan pertama bagi penggal pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Wisma Seri Pahang di Kuantan, hari ini.

Majlis angkat sumpah itu dimulai oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga ADUN Jelai diikuti 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) serta ADUN lain.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Pahang Datuk Seri Ishak Muhammad yang dilantik semula bagi penggal kedua, selepas dilantik buat kali pertama pada Julai 2013.

Pemilihan Ishak, 65, dikemukakan oleh Wan Rosdy dan disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Wan Rosdy berkata pemilihan Ishak yang merupakan anak kelahiran Pekan dan pernah berkhidmat sebagai ADUN Bebar dan EXCO Pahang sebelum ini dibuat atas pengalaman serta prestasi cemerlang beliau sebagai Speaker pada penggal lepas.

Wan Rosdy seterusnya mencadangkan supaya ADUN Jenderak Datuk Seri Mohamed Jaafar dilantik sebagai Timbalan Speaker, yang disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.

Persidangan DUN Pahang penggal ke-14 dijadualkan akan dirasmikan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 23 Julai ini sebelum bersidang selama lima hari.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas, Barisan Nasional (BN) kekal menerajui Pahang selepas memenangi 25 daripada 42 kerusi DUN yang dipertandingkan, manakala Pakatan Harapan memperoleh sembilan kerusi DUN dan PAS mendapat lapan kerusi.

Ishak dalam ucapannya pula berjanji akan melaksanakan tugasnya dengan sebaik-baiknya, penuh tanggungjawab dan saksama dalam memastikan kelancaran perjalanan sidang DUN.

"Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang dilantik. Walaupun landskap politik telah berubah tetapi perubahan memang berlaku di mana-mana dan kita bersyukur rakyat menunjukkan kematangan dalam demokrasi.

"Keamanan dan ketenteraman negara sebagai sebuah negara yang berbilang kaum tetap dipertahankan tanpa berlaku sebarang huru-hara. Rakyat telah membuat pilihan dan mereka yang berjaya hendaklah menjalankan amanah dengan baik," katanya.

Ishak juga mengingatkan ADUN Pahang bahawa tindakan mereka kini dinilai oleh rakyat dan mereka seharusnya menunjukkan contoh yang baik, berkhidmat dengan cemerlang dan memahami kesusahan yang dialami rakyat.

Beliau berharap semua wakil rakyat yang dipilih juga akan memberikan kerjasama penuh sepanjang persidangan akan datang yang dapat membantu membawa Pahang ke peringkat lebih cemerlang.

"Saya akan mempertahankan kemuliaan sidang Dewan ini dan semua Yang Berhormat boleh berbahas dan bertukar fikiran dengan profesional. Pamerkan peribadi mulia, integriti dan kematangan dalam memberikan idea bernas dan pandangan yang baik," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS