Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Speaker: Syukur rakyat matang tangani perubahan
Diterbitkan:  Jul 2, 2018 3:17 PM
Dikemaskini: 7:20 AM

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Datuk Seri Ishak Muhammad berkata beliau bersyukur rakyat menunjukkan kematangan demokrasi walaupun landskap politik telah berubah.

"Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang dilantik.

“Walaupun landskap politik telah berubah tetapi perubahan memang berlaku di mana-mana dan kita bersyukur rakyat menunjukkan kematangan dalam demokrasi.

"Keamanan dan ketenteraman negara sebagai sebuah negara yang berbilang kaum tetap dipertahankan tanpa berlaku sebarang huru-hara.

“Rakyat telah membuat pilihan dan mereka yang berjaya hendaklah menjalankan amanah dengan baik," beliau dipetik sebagai berkata.

Ishak, 65, berkata demikian dalam ucapan sulungnya selepas dilantik semula ke jawatan itu hari ini.

Pemilihannya dikemukakan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan disokong oleh exco pelancongan Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Wan Rosdy berkata pemilihan Ishak, anak Pekan, Pahang yang pernah berkhidmat sebagai anggota DUN (ADUN) Bebar dan exco negeri, dibuat atas pengalaman serta prestasi cemerlang pada penggal lepas.

Selain Ishak, kesemua 42 ADUN Pahang mengangkat sumpah jawatan pada persidangan pertama bagi penggal pertama DUN ke-14 di Wisma Seri Pahang di Kuantan, hari ini.

Pahang adalah dua negeri terakhir, selain Perlis, yang masih diterajui oleh BN.

Lihat Komen
ADS