Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mohamad cabar Ku Li kemuka bukti jlka wujud politik wang
Diterbitkan:  Jul 2, 2018 3:30 PM
Dikemaskini: 7:34 AM

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mencabar pihak yang mendakwa wujudnya amalan politik wang pada pemilihan Umno supaya mengemukakan bukti.

Beliau berkata ini bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.

“Sekiranya benar wujud amalan politik wang pada pemilihan Umno bukti perlu dikemukakan.

“Tidak usahlah cakap sahaja, jika ada bukti buat laporan,” katanya kepada pemberita selepas persidangan (khas) penggal pertama Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14, di Dewan Undangan Negeri, di Seremban, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini yang mendakwa beliau mendapat khabar bahawa dalam pemilihan parti kali ini banyak wang digunakan.

Pada pemilihan parti yang berlangsung Sabtu lalu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipilih sebagai presiden dengan 99 undi manakala Khairy Jamaluddin memperoleh 61 undi dan Tengku Razaleigh memperoleh 30 undi.

Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Negeri Sembilan dan pengerusi BN negeri berkata pemilihan ADUN BN sebagai ketua pembangkang sidang DUN penggal ini sedang dibincangkan.

Katanya, tugas sebagai pembangkang bukan hanya untuk membangkang sahaja, tetapi turut memain peranan dalam memantau perjalanan dan dasar yang dibuat oleh kerajaan negeri agar rakyat menerima manfaat dengan setiap dasar yang dilaksanakan.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS