Paling Popular
Terkini

ULASAN | Seperti Golkar, Umno takkan mati.

Selepas presiden Seoharto digulingkan melalui kebangkitan rakyat dalam peristiwa yang dikenali sebagai “Reformasi September 1998”, tidak kurang ramai yang berharap parti Golkar juga turut berakhir sama sekali. Bayang-bayangnya pun tak ada lagi.

Golkar sangat berkuasa sejak Seoharto melakukan rampasan kuasa, menggulingkan Seokarto pada pertengahan 1960-an.

Golkar bukan sahaja telah menjadi perisai Seoharto dalam apa yang disebut sebagai “order baru”, tetapi turut menghidupkan amalan rasuah, salah guna kuasa selain kesombongan para petingginya. Amalan itu telah dipaksakan menjadi kebiasaan dalam masyarakat selain mencengkam pentadbiran kerajaan pelbagai peringkat: dari Sabang sampai Merauke.

Golkar adalah ‘Umno-nya’ Indonesia. Kerosakan yang terlalu besar yang dilakukan parti itu membuatkan generasi muda lupa jasa-jasa Golkar, termasuklah dalam menyelamatkan Indonesia dari ancaman komunis. Atau sebaliknya, jasa-jasa Golkar tidak boleh terus pula dijadikan modal untuk menutup kerosakan yang juga banyak dilakukan oleh elit parti.

Umno juga parti yang berjasa. Perkara ini tidak dapat dinafikan.

Selain berusaha memerdekakan tanah air, banyak program dan dasar Umno menyumbang dalam melakar kemajuan Malaysia sepertimana yang terpampang hari ini. Namun, sekali lagi seperti juga Golkar, jasa-jasa itu tidak boleh terus digunakan sebagai lesen untuk Umno mempertahankan salah guna kuasa, kecurangan bahkan kesombongan elitnya.

Parti-parti di dalam Pakatan Harapan harus menyedari masalah ini.

Umno sekurang-kurangnya mengambil masa puluhan tahun untuk pelan-pelan menjadi rosak. Tidak wajarlah bagi pemimpin dan elit HARAPAN melakukan perkara sama seperti menyembunyikan jam tangan, hidup mewah, anak-anak dihantar hidup mewah ke luar negeri atas alasan ‘belajar’, ubah suai rumah secara sembunyi, menjadi alat cukong, menyamar warak dan sebagainya.

Dan seperti Golkar, adalah sebab utama Umno boleh bertahan apabila parti itu mempunyai kekayaan dan aset berbilion ringgit. Aspek material itulah yang menjadi asas untuk kedua parti berkenaan kekal bernyawa. Sedangkan parti yang tidak mempunyai apa-apa kekayaan, seperti PKR pun boleh terus hidup, inikan pula Umno yang ibu pejabatnya pun mencakar langit.

Selain di Kuala Lumpur, Umno mempunyai ibu pejabat di hampir semua kawasan. Di Muar, Johor misalnya, bangunan Umno bahagian berkenaan bernilai jutaan ringgit. Terletak di lokasi yang strategi dekat Tanjung Emas.

Kekayaan Umno itu belum lagi diambil kira segala bentuk perniagaan dan sahamnya. Maka tidak hairanlah, pemilihan Umno kelmarin tetap jadi perhatian elit Umno kerana menjadi presiden bermakna mengusai harta, aset, tunai, perniagaan dan saham yang jumlahnya setinggi gunung. Meski bukan lagi mengusai kerajaan di peringkat Putrajaya, tetapi Umno kekal parti terkaya yang perlu direbut atas alasan apa pun.

Menjadi presiden Umno maknanya menjadi ‘CEO’ bagi sebuah organisasi yang sangat kaya-raya: berendam emas-perak dan bersayapkan wang. Barangkali lebih kaya daripada banyak syarikat mahupun badan korporat di negara ini. Demikian Umno tidak akan mati begitu sahaja—seperti harapan saya 20 tahun lalu agar Golkar mati selepas Seoharto jatuh—kerana kekayaan nyata Golkar bertaburan di seluruh Indoensia.

Seperti Golkar...

Selain itu, seperti juga Golkar yang mencari rakan strategik politik yang baharu, Umno juga nampaknya mahu melakukan hal sama. Di banyak pemilihan dan pilihan raya, calon Golkar akan bertolak ansur dengan calon-calon parti lain, termasuk dengan parti yang di era Reformasi kuat menentang Golkar. Mereka berganding bahu untuk menumbangkan musuh semasa yang sama.

Kini desas-desus sebuah gagasan baharu menggantikan BN sudah terdengar. Idea itu dilontar oleh presiden Umno yang baharu, Zahid Hamidi sewaktu kempen merebut jawatan tertinggi.

Tidaklah terlalu sukar diramal bahawa rakan penting untuk membentuk gagasan baharu itu tidak lain yang boleh dijangkakan adalah PAS. Sehari selepas Zahid menjadi presiden dipilih, beliau dilaporkan akan segera menemui PAS bagi memutuskan calon ketua pembangkang di parlimen. Langkah berkenaan adalah anak kunci kepada gagasan baharu yang dikatakan bakal menggantikan BN lama.

Demikian jugalah Zahid sedari awal menentang cadangan untuk membuka Umno kepada kaum-kaum lain. Zahid kental percaya, orang Melayu umumnya masih percaya dengan perjuangan tradisi Umno yang menjadi asas sama antara Umno-PAS ialah perjuangan atas nama “Melayu dan Islam”.

Meski kedua parti itu bersifat parti kanan, dan sebenarnya mempunyai pendekatan sama sekali berbeza, namun “asas Melayu-Islam” akan memungkinkan Umno-PAS membentuk ‘BN baharu’ secara lebih berkesan. Usaha berkenaan mungkin telah dimulakan oleh mantan presiden Umno, Najib Razak, namun belum cukup kuat dan memberi impak tarikan graviti politik nasional.

Tidak menjadi masalah kepada Umno untuk sedikit beralah dengan cara pendekatan PAS yang agak keras, asalkan teras sokongan majoriti Melayu yang ada pada PAS di banyak kawasan dapat dikongsi di atas telapak tangan Umno. Umno juga nampaknya perlu bersedia menjadi lebih keras demi kononnya mahu menjadi pembangkang yang berkesan.

Di atas percaturan ini, persoalannya cuma satu, iaitu, apakah orang Melayu dalam fikiran elit Umno dan PAS masih orang Melayu yang sama seperti 20-30 tahun lalu? Sedangkan ada petunjuk dan bukti jelas bahawa pemikiran Melayu sejak sebelum pilihan raya umum lalu pun sudah berbeza dengan apa yang mereka sangka.

Jangan-jangan Melayu hari ini sebenarnya boleh mempertahankan hak-hak mereka, teras kenegaraan seperti Bahasa Melayu, agama Islam dan Raja-raja Melayu, serta boleh bersaing walaupun tanpa tongkat yang sangat besar lagi. Bagi saya, perubahan dan keyakinan Melayu di luar kotak Umno dan PAS—yang mandiri dan berjati diri—sebenarnya sudah bersemai lama, waima jauh sebelum Khairy Jamaluddin tergagap-gagap menyebut dan melakarkannya dalam manifesto calon presiden Umno.

Maka selain soal harta pusaka yang berbilion yang diwarisi oleh selepas kalah dalam perang PRU lalu, ‘aset’ terbesar Umno adalah set pemilihan lama yang masih wujud pada tingkat tertentu masyarakat Melayu. Selagi set pemikiran itu wujud, selagi itu jugalah Umno akan bernyawa. Hanya selepas kalah perang, set pemikiran itu terpaksa dikongsi bersama PAS walaupun pendekatan “parti Melayu” dan “parti Islam” itu sebelum ini, ketara berbeza.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS