Saifuddin berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan
Datuk Saifuddin Abdullah yang dilantik sebagai Menteri Luar Negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan, hari ini, bukanlah nama asing dalam pentadbiran kerajaan.
Saifuddin pernah memegang jawatan timbalan menteri ketika era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.
Beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawanan dan Koperasi di bawah kerajaan pimpinan Abdullah dari 19 Mac 2008 hingga 9 April 2009.
Najib yang mengambil alih kepimpinan sebagai perdana menteri keenam kemudian menukar portfolio Saifuddin kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi II pada 10 April, 2009.
Penyertaannya dalam kerajaan kemudian terhenti apabila beliau gagal mempertahankan kerusi Parlimen Temerloh yang dimenanginya pada pilihan raya umum (PRU) ke-12 apabila tewas kepada calon PAS Nasrudin Hassan dengan 1,070 majoriti undi dalam PRU13, pada Mei 2013.
Beliau dipetik media ketika itu memberikan alasan bahawa Saifuddin yang pernah menjadi Anggota Majlis Tertinggi Umno mengisytiharkan keluar parti itu untuk menyertai PKR pada Oktober 2015.semakin lari daripada perjuangan sebenar menyebabkannya meninggalkan parti berkenaan.
Saifuddin, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera Universiti Malaya (UM) serta Sijil Pengurusan Universiti Harvard, Amerika Syarikat, juga adalah bekas Presiden Majlis Belia Malaysia, Ahli Majlis Teknologi Maklumat Negara (NITC) dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pergerakan Moderat Global (GMM).
Meletakkan membaca buku sebagai minat dalam profil laman sosial Facebooknya, Saifuddin turut menghasilkan beberapa buah buku antaranya Memperkasa Persatuan Belia (2000), Gerakan Kesukarelaan: Menjana Perubahan Bermakna dan 'New Politics -Towards A Mature Malaysian Democracy'.
- Bernama

